Peningkatan aliran eksport lembu premium Jepun dorong inovasi kulinari serta pengoptimuman margin operasi pemain industri makanan tempatan.

Pengusaha sektor makanan dan minuman (F&B) di Malaysia kini digalakkan meneroka kepelbagaian potongan daging Wagyu Jepun melangkaui bahagian premium lazim seperti tenderloin dan sirloin. Langkah ini selari dengan data Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur yang mendedahkan daging Wagyu Jepun kini menduduki tempat sebagai kategori tunggal terbesar eksport makanan dan hasil pertanian Jepun ke Malaysia berdasarkan nilai dagangan, didorong peningkatan permintaan konsisten daripada penggiat kulinari tempatan saban tahun.

Bagi memperluas kefahaman industri terhadap potensi potongan alternatif, JETRO Kuala Lumpur bersama pembekal daging halal, Zenrich Allied Sdn. Bhd. (Zenrich Wagyu), dan Konsortium Promosi Eksport Wagyu Kurohana telah menganjurkan seminar perdagangan B2B di La Moon TTDI. Program di bawah inisiatif Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF) ini menghimpunkan golongan cef serta pengarah F&B untuk menilai potensi potongan sekunder seperti Shoulder Clod-Misuji (top blade), Togarashi (chuck tender), dan Katasan menerusi sesi demonstrasi penghirisan, kiraan hasil daging (yield), serta analisis kos pembelian bahan mentah.

Dari sudut inovasi kulinari, potongan sekunder berkenaan terbukti fleksibel untuk pelbagai gaya masakan selain stik merangkumi sajian tradisional Jepun seperti shabu-shabu dan sukiyaki, kaedah masakan barat seperti searing dan braising, sehinggalah integrasi dalam menu oriental seperti Dim Sum Wagyu halal. Pendekatan ini membolehkan pengusaha restoran mengoptimumkan kos operasi melalui konsep penggunaan menyeluruh (whole-animal utilization) tanpa menjejaskan kualiti rasa dan kelembutan autentik yang sinonim dengan jenama daging lembu Jepun.

Pengarah Urusan JETRO Kuala Lumpur, Koichi Takano, menegaskan bahawa pendedahan variasi potongan ini merupakan strategi terbaik untuk menjadikan daging Wagyu Jepun lebih mudah diakses oleh khalayak pengguna di lebih banyak premis makanan. Komitmen pasaran turut disokong rekod prestasi Zenrich Wagyu yang telah mengimport melebihi 192,000 kilogram Wagyu Jepun bersijil halal (bersamaan sekitar 600 ekor lembu) sepanjang sedekad operasinya, sekali gus membuktikan asas permintaan tempatan yang kukuh bagi menyokong perluasan rangkaian potongan komprehensif ini.