Siap sedia Kuala Lumpur! Satu fenomena luar biasa bakal melanda ibu negara apabila BYON COMBAT SHOWBIZ 7 secara rasminya memilih Malaysia sebagai destinasi sulung debut antarabangsanya. Dengan kerjasama strategik bersama penganjur hebat, Kharisma Music International, acara ini bukan sekadar perlawanan biasa, tetapi satu revolusi yang menggabungkan adrenalin sukan tempur dengan skala hiburan “showbiz” yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Dijadualkan menggegarkan World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 25 April 2026, lebih 3,000 peminat dijangka bakal membanjiri lokasi untuk menjadi saksi sejarah baharu dalam dunia sukan tempur tempatan!
BYON bukan nama asing lagi selepas mencetuskan impak mega di Indonesia dengan rekod lebih 536,000 pembelian Pay-Per-View (PPV) dan tontonan digital mencecah ratusan juta. Kali ini, mereka membawa produksi visual bertaraf dunia ke Malaysia, mengangkat disiplin tinju dan “kickstriking” ke tahap 360 darjah yang penuh dramatik. Apa yang membuatkan edisi kali ini lebih “panas” adalah pertembungan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia yang akan berkongsi satu gelanggang. Ini bukan sekadar perlawanan, ini adalah penentuan maruah dan bukti kehebatan petarung serantau yang pastinya akan membuatkan penonton tidak senang duduk!
Keriuhan BYON7 tidak hanya terhad di dalam gelanggang. Seiring dengan identiti “showbiz” yang dibawa, peminat bakal disajikan dengan rangkaian aktiviti yang menghidupkan suasana seperti sidang media penuh provokasi, sesi face-off yang mendebarkan, serta acara weigh-in yang penuh gaya. Segalanya dirancang rapi untuk memastikan setiap saat menjelang hari pertarungan dipenuhi dengan debaran dan keterujaan yang maksima. Bagi mereka yang inginkan pengalaman sukan tempur yang berbeza, inilah acara yang wajib anda tonton tahun ini.
Lebih menarik, kolaborasi strategik antara Media Prima dan Vidio memastikan kehangatan ini dapat dirasai oleh semua penonton di rantau ini. Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal, anda masih boleh merasai setiap tumbukan dan sepakan secara eksklusif melalui penstriman di Vidio dengan harga serendah RM17 sahaja. Dengan akses semudah ini, tiada alasan untuk anda terlepas menyaksikan evolusi sukan tempur paling berpengaruh di Asia Tenggara. Siapa yang bakal mendominasi gelanggang? Sama-sama kita nantikan ledakan adrenalin di BYON COMBAT SHOWBIZ 7!











