Meraikan sedekad legasi animasi kebanggaan negara menerusi kehebatan gubahan skor muzik sinematik secara langsung di pentas ikonik Plenary Hall KLCC.

Francais animasi kebanggaan tempatan terbitan Wau Animation dan Primeworks Studios, Ejen Ali, bakal meraikan sedekad legasi kejayaannya menerusi penganjuran konsert muzik orkestra berskala mega bertajuk Ejen Ali In Concert. Dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 November 2026 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), acara istimewa ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan buat jutaan peminat pelbagai lapisan usia yang telah menyokong pengembaraan ejen rahsia cilik itu sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

Konsert berprestij ini dipimpin oleh Pengarah Muzik, Azri Yunus, dengan iringan 41 pemuzik orkestra daripada KL City Opera serta barisan vokalis asal dan artis jemputan popular, termasuk penyanyi terkenal Hael Husaini dan Ida Rahayu. Sebanyak 22 susunan lagu runut bunyi ikonik ciptaan Azri Yunus bakal dipersembahkan secara langsung, menggabungkan kemegahan gubahan simfoni orkestra dan visual animasi sinematik bagi menghidupkan semula detik-detik penuh magis serta aksi mendebarkan dari dunia M.A.T.A di hadapan penonton.

Bagi memberikan pengalaman yang inklusif, konsert ini dibahagikan kepada dua sesi berbeza, dimulakan dengan sesi siang mesra kanak-kanak, Family Fun Day (11.00 pagi), yang menyajikan persembahan lagu popular serta aktiviti interaktif pada harga RM69 bagi tiket individu atau RM200 bagi Pakej Keluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak). Manakala pertunjukan malam berskala penuh, Ejen Ali In Concert (8.00 malam), menawarkan pengalaman konsert orkestra komprehensif dengan pilihan tiket pelbagai kategori bermula dari CAT D (RM119), CAT C (RM149), CAT B (RM238), CAT A (RM269), Premium (RM299), sehinggalah VIP (RM369).

Penjualan tiket Early Bird rasmi telah dibuka menerusi platform WOWTIX, dengan tawaran hadiah cenderamata eksklusif edisi terhad bagi pembeli terawal sepanjang tempoh promosi. Dilihat sebagai penanda aras baharu dalam industri kreatif tempatan menerusi gabungan seni orkestra dan animasi tempatan, orang ramai dan para peminat dinasihatkan membuat tempahan segera di WOWTIX serta mengikuti akaun rasmi media sosial Ejen Ali untuk sebarang pengumuman lanjut.