Program Komuniti Ukay Bijak merupakan inisiatif rintis yang dilancarkan oleh Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana untuk memberikan sokongan kepada remaja yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Program ini bertujuan untuk membekalkan mereka dengan keyakinan dan semangat yang tinggi dalam menghadapi peperiksaan yang penting ini. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk Masjid Ukay Perdana, Pejabat Ahli Parlimen Ampang YB Pn. Hjh. Rodziah Ismail, Skop Productions Sdn. Bhd., Lembaga Zakat Selangor (LZS), serta Restoran Paklong Ikan Bakar dan Restoran Nasi Vanggey, semua dari komuniti Ukay Perdana yang bersatu untuk menjayakan program ini.
Program Komuniti Ukay Bijak menumpukan perhatian kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM 2024, dengan memberikan penekanan khusus kepada motivasi pelajar dan teknik serta panduan menjawab soalan dalam empat subjek teras SPM. Program ini terbuka kepada semua remaja, tidak mengira latar belakang sosioekonomi, dari golongan T20 hingga kepada golongan Asnaf, dan berlangsung selama dua hari dengan had penyertaan sebanyak 50 orang peserta sahaja.
Di samping aspek akademik, program ini juga menekankan pentingnya pembangunan insaniah dengan menggalakkan remaja memahami bahawa masjid adalah pusat pembangunan spiritual dan akademik. Program ini menggalakkan pelajar untuk solat berjemaah di masjid serta mengajar mereka adab dan kelakuan yang baik ketika berada di dalam kawasan masjid.
Program ini telah dirasmikan oleh En. Arzaman Ariffin, yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana (Baru). Selain beliau, hadir sama adalah Ahli Lembaga Masjid Ukay Perdana serta barisan Jawatankuasa Kecil (AJK) Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana, yang menunjukkan sokongan dan komitmen mereka terhadap inisiatif ini.
Untuk makluman, Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana merupakan sebuah persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan aktif dalam pelbagai program serta inisiatif di kawasan Ukay Perdana, dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan komuniti setempat.