Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 September 2024, dengan penyertaan seramai 2,378 peserta dari kalangan badan beruniform, sektor korporat, dan institusi pengajian tinggi.
Festival Permainan tahunan ini, yang merupakan sebahagian daripada Kalendar Pelancongan Budaya, bertujuan menonjolkan keunikan seni budaya negeri dan menarik perhatian masyarakat terhadap permainan tradisional.
Festival Permainan ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Persatuan Sukan Tradisional Malaysia. Pada tahun 2024, FPM@KL akan menjadi salah satu acara utama sambutan Hari Malaysia, bersama Festival Gendang dan Tari Antarabangsa serta program Kuala Lumpur Cinta Rasul di bawah penyelarasan DBKL.
Sebanyak 910 peserta dari badan beruniform, 1,001 dari sektor korporat, dan 728 dari institusi pengajian tinggi akan terlibat dalam pertandingan permainan tradisional seperti tarik tali, galah panjang, tuju tin, sepak raga, batu seremban, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit, dan memanah. Pasukan dari badan beruniform seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Bomba akan bertanding bersama wakil sektor korporat seperti Malaysia Airports Berhad, Tenaga Nasional Berhad, dan RHB Bank. Tahun ini, kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diperkenalkan dengan penyertaan universiti tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaya.
Selain pertandingan utama, Festival Permainan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan tradisional interaktif yang dikelolakan oleh Syarikat Guligeng. Pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti susun bata, tarik upih, lari dalam guni, kelereng, dan banyak lagi. Demonstrasi permainan tradisional Orang Asal, pameran permainan dari Sabah dan Sarawak, serta kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Tarik Tali dan MyGasing Championship juga turut diadakan.
Penganjuran Festival Permainan ini akan turut dimeriahkan dengan pelancaran Senam Seni 2.0, modul baharu yang menggabungkan elemen gerak tari dan kecergasan. Modul ini diiktiraf oleh Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia dan akan dipromosikan ke seluruh negara dengan sokongan pelbagai rakan kerjasama.
FPM@KL 2024 akan menjadi tumpuan utama pada 15 September dengan majlis perasmian yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa.
Untuk pengunjung, sebanyak 30 trak makanan akan disediakan sepanjang festival, yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam di Jalan Raja. DBKL juga akan memastikan penganjuran festival ini sebagai acara tanpa sampah dengan sokongan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
FPM@KL 2024 mendapat sokongan daripada lebih 40 rakan kerjasama dan 23 penaja, termasuk Ajinomoto Malaysia, Olive House, Red Bull, serta pelbagai institusi korporat lain. Pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang JKKN di www.jkkn.gov.my atau laman Facebook rasmi JKKN www.facebook.com/mysenibudaya.