Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendedahkan dakwaan berhubung siri amalan tidak telus oleh syarikat telekomunikasi (telco) yang didakwa mengenakan caj tersembunyi serta menawarkan pakej “percuma” yang akhirnya membebankan pengguna dengan hutang mencecah ribuan ringgit. Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan atau Toqqi, menegaskan bahawa isu ini bukan lagi terpencil, sebaliknya disifatkan sebagai satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan besar daripada pengguna. Menurut beliau, terdapat situasi di mana caj seperti insurans memberi keuntungan puluhan juta ringgit kepada syarikat, namun pengguna pula terpaksa menanggung caj berganda, sekali gus menimbulkan persoalan tentang integriti syarikat-syarikat terlibat.
Dalam pada itu, PPIM turut menerima aduan daripada seorang pengguna, Aina Ramli, 48, yang mendakwa menjadi mangsa taktik pemasaran mengelirukan oleh sebuah syarikat telco. Beliau ditawarkan talian telefon yang dikatakan “percuma” sebagai ganjaran pelanggan setia dan dimaklumkan tiada tindakan diperlukan sekiranya tidak berminat. Namun selepas setahun, Aina mendapati namanya telah disenarai hitam, manakala penyata bil menunjukkan caj RM100 sebulan bagi talian yang didakwa tidak pernah diaktifkan olehnya. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana pengguna mungkin terus menanggung caj tanpa disedari sekiranya tidak memantau bil secara berkala.
Walaupun kes tersebut akhirnya berjaya diselesaikan selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM berpendapat ia mungkin hanya sebahagian kecil daripada isu yang lebih besar. Persoalan turut dibangkitkan mengenai berapa ramai lagi pengguna yang berkemungkinan membayar untuk perkhidmatan yang tidak digunakan. Sehubungan itu, PPIM menggesa pihak kerajaan dan berkuasa mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengenakan denda tinggi terhadap syarikat telco yang didapati bersalah, melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem bil terutama melibatkan produk pihak ketiga, serta meneliti semula amalan menyenarai hitam pengguna sebelum sebarang pertikaian bil diselesaikan secara telus.
Nadzim Johan turut menasihatkan orang ramai agar lebih peka dan menyemak penyata bil setiap bulan serta tidak mudah mempercayai tawaran “percuma” tanpa penelitian. Beliau menegaskan bahawa pengguna berhak mempertikaikan sebarang caj yang meragukan dan mendapatkan bantuan daripada PPIM sekiranya berdepan kesukaran. Dalam masa sama, PPIM memberi amaran kepada syarikat telco supaya menghentikan amalan yang disifatkan tidak beretika ini, sebelum tindakan lebih tegas diambil bagi melindungi kepentingan pengguna. Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian +6013-611 6666.