UNIC Raikan 24 Tahun Perjuangan Dengan Pelancaran UNICOUSTIC PODCAST

Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik nasyid tempatan, UNIC terus melakar satu lagi pencapaian menerusi pelancaran projek terbaharu mereka yang diberi nama UNICOUSTIC PODCAST. Projek istimewa ini menyaksikan kesemua lagu daripada album pertama UNIC dirakam semula dalam susunan akustik yang lebih segar dan moden.

Lebih menarik, setiap lagu turut diiringi dengan episod podcast yang mengupas perjalanan awal penubuhan kumpulan tersebut. Menerusi podcast ini, anggota UNIC iaitu Dr. Fitri Haris, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi berkongsi pelbagai kisah di sebalik pembikinan lagu, pengalaman sepanjang bergiat dalam dunia nasyid serta cabaran yang ditempuhi sepanjang 24 tahun perjalanan mereka.

Projek yang merangkumi 10 episod podcast dan 10 lagu akustik ini direalisasikan menerusi Geran Dana Kandungan Kreatif yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital melalui My Creative Venture serta diterbitkan oleh UNIC Legacy. Menurut UNIC, inisiatif seperti ini memberi manfaat besar kepada penggiat industri kreatif, khususnya dalam memperkasakan genre nasyid di Malaysia.

Mereka berharap karya terbaharu ini dapat membawa peminat kembali mengimbau kenangan sejak awal penubuhan UNIC dan menghargai perjalanan panjang yang membolehkan mereka terus relevan sehingga hari ini.