Filem seram thriller Taiwan berjudul MUDBORN arahan pengarah terkenal Shieh Meng-Ju mencipta fenomena luar biasa sejak ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 27 November lalu. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan MUDBORN sebagai antara filem seram Cina paling laris tahun ini dan membuktikan genre seram terus mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
Filem ini diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa (Anak Patung Tanah Liat). Walaupun lagunya kedengaran riang, liriknya membawa sisi gelap yang lebih menyeramkan apabila dihayati semula sewaktu dewasa. Antara bait yang sering diperkatakan ialah “Matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar.”
MUDBORN mengisahkan seorang pereka permainan VR bernama Hsu-Chuan yang membawa pulang anak patung tanah liat pecah yang ditemuinya di sebuah rumah tinggal berhantu. Isterinya, Muhua, seorang konservator artifak yang sedang hamil, menjadi semakin obses untuk memulihkan patung tersebut tanpa menyedari bahawa setiap sentuhan membangkitkan sesuatu yang jauh lebih misteri. Sejak patung itu berada di rumah, pasangan ini mula diganggu kejadian aneh yang semakin hari semakin sukar dijelaskan. Dari bisikan halus hingga perubahan tingkah laku Muhua, suasana rumah tangga mereka berubah sehingga mencetuskan tekanan dan ketakutan.
Dalam usaha mencari jawapan, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh dan psikik, Ah-Sheng yang akhirnya membongkar sejarah sumpahan tanah liat yang menghantui patung tersebut. Tragedi silam dan dendam tidak berpenghujung menjadi rahsia yang meningkatkan lagi intensiti jalan cerita MUDBORN. Filem ini diterajui oleh pelakon berbakat seperti Yang Yo-Ning, pemenang Anugerah Golden Horse, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.
MUDBORN menggabungkan elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural dalam satu naskhah yang segar. Perpaduan dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini unik, bukan sekadar bermain dengan kejutan tetapi juga meninggalkan persoalan mendalam kepada penonton. Sebagai sebuah filem Taiwan, MUDBORN membawa citarasa Asia Timur yang jarang dipaparkan dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual, kesan bunyi yang mencengkam dan sinematografi yang terperinci menjadikan pengalaman menontonnya lebih memuaskan.
Dengan kutipan box office melebihi RM10 juta, MUDBORN membuktikan bahawa filem seram Mandarin mampu menyaingi populariti filem tempatan termasuk kejayaan Malam Terlarang yang turut mencatat rekod membanggakan sebelum ini. MUDBORN tidak sekadar menawarkan elemen seram, tetapi juga menggambarkan obsesi, kesempitan hubungan manusia dan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dilihat.
MUDBORN kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan bersedia memberikan pengalaman seram yang mengusik jiwa serta meninggalkan bayangan ngeri yang sukar dilupakan.