Black On White: Cromok & Barbarik Gegar Pentas dengan Tribute Kembara

Selepas sekian lama dinantikan oleh peminat muzik rock dan metal tempatan, dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Cromok dan Barbarik, akhirnya bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di Idea Live Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya.

Menggabungkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti muzik yang berbeza, konsert anjuran Karl Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan oleh peminat muzik rock tahun ini.

Bukan sekadar persembahan biasa, Black On White tampil dengan konsep tersendiri yang mengangkat elemen penceritaan serta pengalaman konsert yang lebih menyeluruh kepada penonton. Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan segmen khas tribute kepada kumpulan legenda Kembara, yang diolah melalui susunan muzik baharu tanpa menghilangkan keaslian melodi asal.

Gitaris Barbarik, Jobranko, berkata idea segmen tersebut tercetus bagi memberikan kelainan kepada keseluruhan perjalanan konsert di samping menghargai kumpulan yang banyak memberi inspirasi kepada mereka sejak zaman remaja.

“Saya memang tidak suka buat konsert yang terlalu ‘straight forward’. Bagi saya, penonton bukan sekadar mahu melihat band bermain lagu, tetapi mereka mahukan sebuah pengalaman,” katanya. “Sebelum ini saya pernah berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain, tetapi bersama Cromok cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza. Jadi kami merasakan perlu ada sesuatu yang boleh menambah keterujaan peminat untuk hadir.”

Tambahnya lagi, kedua-dua kumpulan sepakat memilih lagu-lagu Kembara kerana karya mereka dekat dengan jiwa serta sarat dengan mesej kehidupan.

“Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak karya mereka yang sebenarnya ‘underrated’ walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat. Jadi kami akan ‘rearrange’ lagu-lagu ini supaya lebih segar dan sesuai dengan tenaga persembahan Black On White,” jelasnya.

Menurutnya lagi, segmen istimewa itu turut akan menyaksikan gabungan Cromok dan Barbarik dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara.

Sementara itu, Karl daripada Cromok menyifatkan segmen berkenaan sebagai satu perjalanan nostalgia yang diberi nafas baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan.

“Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Jadi segmen ini ibarat mengimbau kembali kenangan lama, tetapi diberikan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga,” katanya.

Selain segmen tribute Kembara, peminat turut bakal menyaksikan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, termasuk persembahan lagu baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipentaskan secara langsung buat pertama kali.

Karl turut menjelaskan bahawa konsert ini membawa kelainan menerusi konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

“Kami menggunakan pendekatan 100 peratus digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau drum akustik di atas pentas. Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton,” jelasnya.

Barbarik pula mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut keselesaan dan identiti kumpulan mereka dengan penggunaan monitor wedges serta setup pentas yang lebih organik, namun masih disokong oleh sistem mixer digital.

Perbezaan pendekatan antara Cromok dan Barbarik ini menjadi antara keunikan utama konsert Black On White yang menghimpunkan dua identiti muzik berbeza dalam satu pentas.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 untuk CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6). Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia menawarkan tiket bagi CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

Konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

Pihak Karl Legacy turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif serta kepada The Heritage Club dan Royale Chulan Kuala Lumpur atas kerjasama dan penyediaan venue bagi sidang media konsert tersebut.

Sempena penganjuran konsert ini, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan istimewa kepada peminat dengan harga bermula RM238 nett, termasuk sarapan, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.