Menjelang Visit Malaysia 2026, Tourism Malaysia Kukuhkan Hubungan Strategik Industri Pelancongan Sabah

Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik Industri Pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pelancongan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, selaras dengan aspirasi nasional melalui kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis ini menghimpunkan pelbagai pemegang taruh utama industri pelancongan termasuk agensi dan pengendali pelancongan, pengusaha penginapan, syarikat penerbangan, pemilik produk pelancongan, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta wakil media. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen bersepadu semua pihak ke arah memperkasa ekosistem pelancongan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.

Sepanjang tahun 2025, industri pelancongan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan meskipun berdepan pelbagai cabaran global. Peningkatan ketibaan pelawat, pengukuhan kerjasama awam dan swasta serta pengenalan produk pelancongan bernilai tambah telah menyumbang secara signifikan kepada proses pemulihan dan pertumbuhan sektor ini.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar, berkata kejayaan sektor pelancongan amat bergantung kepada pendekatan bersepadu serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan. Menurut beliau, selain kerjasama erat bersama rakan strategik industri, peranan media turut memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan naratif pelancongan negara. Sokongan berterusan melalui liputan, penulisan dan penghasilan kandungan kreatif diyakini mampu meningkatkan keterlihatan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Bagi menyokong pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026, Tourism Malaysia Sabah telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik dalam usaha promosi, merangkumi pengukuhan penjenamaan dan pemasaran destinasi bagi merangsang permintaan pasaran, peningkatan aliran pelawat menerusi kerjasama strategik bersama rakan industri, serta penumpuan kepada segmen pasaran berimpak tinggi seperti pelancongan pengembaraan, ekopelancongan dan golf. Tumpuan turut diberikan kepada produk pelancongan minat khas termasuk Community-Based Tourism, pengalaman homestay, aktiviti pemerhatian burung serta selaman skuba.

Beliau turut menegaskan bahawa VM2026 merupakan agenda nasional yang menuntut kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, khususnya di Sabah. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan, malah memberikan impak langsung kepada pembangunan komuniti, pemeliharaan alam sekitar serta pengukuhan kedudukan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Seiring dengan usaha memperkasa industri pelancongan negara, Tourism Malaysia juga telah membuka permohonan secara dalam talian bagi Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan program GAMELAN bagi tahun 2026 bermula 16 Disember 2025. Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada pemain industri untuk mendapatkan sokongan dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan pelancongan yang selaras dengan aspirasi nasional.