Maxim E-hailing Malaysia mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah menerima surat kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di seluruh negara. Kelulusan ini menandakan tamatnya tempoh pemantauan selama tiga bulan, sekali gus mengesahkan bahawa Maxim kini memenuhi semua keperluan peraturan yang ditetapkan. Dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, Mushfique Ahmed dari Bahagian Pematuhan Undang-undang dan Hubungan Kerajaan Maxim Malaysia menjelaskan fokus utama sepanjang tempoh tersebut, termasuk penambahbaikan proses pengesahan undang-undang, sokongan kepada pemandu, peningkatan ciri keselamatan dan komitmen terhadap inisiatif komuniti.
Sepanjang fasa pemantauan itu, Maxim telah menyerahkan laporan lengkap dan melaksanakan beberapa penambahbaikan penting bagi memastikan pematuhan penuh terhadap pelesenan pemandu. Syarikat juga telah menjalankan audit dalaman untuk lesen PSV dan eVP, mengemas kini proses pengambilan pemandu serta memperketat pemeriksaan pematuhan. Untuk membantu pemandu baharu, Maxim menawarkan sokongan kewangan sehingga RM400 serta insentif komisen 0% kepada pemandu yang baru diluluskan. Kerjasama dengan sekolah memandu turut diperluas melalui proses mendapatkan PSV yang lebih pantas dengan bantuan pembiayaan penuh.

Dari aspek keselamatan, Maxim memperkenalkan pilihan perjalanan khusus wanita di beberapa bandar di Pantai Timur, menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak kepada pemandu berprestasi tinggi di Terengganu dan menambah baik butang SOS bagi memastikan respons kecemasan yang lebih cepat. Selari dengan tanggungjawab sosial korporat, Maxim juga memperluas sokongan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui insentif komisen 0% kepada pemandu OKU serta penambahbaikan perkhidmatan untuk pelanggan OKU.
Syarikat turut meneruskan pelbagai inisiatif melibatkan komuniti seperti kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sokongan pengangkutan untuk komuniti cacat penglihatan dan penganjuran kempen derma darah. Kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) turut mengukuhkan komitmen Maxim terhadap keterangkuman sosial.
Hazwan menyatakan bahawa dengan kelulusan sepenuhnya ini, Maxim kini bersedia memasuki fasa pertumbuhan yang lebih kukuh di Malaysia. Beliau menzahirkan penghargaan kepada APAD, para pemandu, penumpang dan media atas sokongan yang diberikan, serta menegaskan misi Maxim untuk terus memperluaskan capaian dan menyediakan pengalaman selamat serta dipercayai bagi semua pengguna. Beliau menambah bahawa peranan Maxim bukan sekadar penyedia e-hailing, tetapi turut menyokong penyertaan ekonomi khususnya bagi mereka yang bergantung pada e-hailing sebagai sumber pendapatan.
Dengan perkhidmatan yang merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, Maxim komited memberikan pilihan pengangkutan yang mudah dicapai untuk rakyat Malaysia. Hazwan turut menegaskan bahawa usaha-usaha berterusan ini menunjukkan komitmen Maxim terhadap pematuhan peraturan, keselamatan penumpang, kebajikan pemandu dan sokongan komuniti, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain kompetitif dalam landskap e-hailing negara.
Dengan kelulusan muktamad ini, Maxim Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk meningkatkan ciri teknologi, memperluaskan perkhidmatan dan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa serta komuniti setempat, demi menyokong pembangunan ekosistem pengangkutan moden dan inklusif di seluruh negara.