Lotus’s Malaysia terus komited dalam memperkukuhkan kebolehpasaran Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dengan memperluaskan kempen Beli Barangan Malaysia ke selatan tanah air. Kali ini, fokus diberikan kepada jenama PKS Johor, dengan inisiatif tersebut dilaksanakan di Johor Bahru. Ini merupakan pertama kali Lotus’s Malaysia membawa sokongan ini ke luar kawasan Lembah Klang.
Kempen yang bermula pada Ogos 2024 ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan telah dilaksanakan untuk tahun ketujuh berturut-turut. Acara utama kempen kali ini akan berlangsung di cawangan Lotus’s Desa Tebrau mulai 28 November hingga 1 Disember 2024.
Melalui penganjuran kempen ini, Lotus’s Malaysia berusaha menyediakan platform bagi PKS Johor untuk mempromosikan produk mereka tidak hanya kepada pengguna tempatan, tetapi juga kepada pelanggan dari negara jiran seperti Singapura. Darshan Singh, Pengarah Perhubungan Kerajaan Lotus’s Malaysia menyatakan, “Kami memahami tanggungjawab kami dalam menyokong jenama tempatan, merangsang ekonomi negara, serta meneroka potensi pengantarabangsaan produk tempatan. Dengan menyediakan platform ini, kami dapat membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran PKS, memperluas capaian mereka kepada platform yang lebih besar dan meningkatkan kesedaran jenama.”
Kempen Beli Barangan Malaysia di Desa Tebrau akan menampilkan 15 jenama PKS Johor, termasuk jenama-jenama terkenal seperti Adami, yang dikenali dengan rempah ratus dan pes tradisional Melayu, serta Peladang yang menawarkan produk sejuk beku, minuman panas, dan pelbagai komoditi lain. Produk-produk ini akan dipamerkan secara eksklusif selama empat hari di Lotus’s Desa Tebrau dan berpotensi untuk menjadi pembekal kepada Lotus’s jika prestasi mereka baik sepanjang kempen berlangsung.
Selain mempromosikan produk-produk PKS Johor, pengguna juga dapat menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, demonstrasi memasak secara langsung, sampel produk, serta tawaran kombo dan diskaun eksklusif. Pada 30 November 2024, Lotus’s juga akan menampilkan empat jenama PKS yang telah bekerjasama sebelum ini di ruang acara pasar raya Desa Tebrau. Antaranya adalah Aducktive, Vits, Nureys, dan Jasmani oleh Anis Café Enterprise.
Sehingga kini, Lotus’s Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 1,200 SKU daripada lebih 120 pembekal PKS yang meliputi pelbagai kategori produk, termasuk makanan, makanan segera, makanan sejuk beku, produk isi rumah, penjagaan diri, dan produk kesihatan.
Inisiatif ini terus memperlihatkan komitmen Lotus’s Malaysia dalam menyokong kemajuan perniagaan tempatan dan membantu pengusaha kecil dan sederhana mengembangkan jenama mereka di peringkat lebih luas.