MEET & GREET KE-40 BAKAL MENUTUP JELAJAH TERAKHIR DI KUALA LUMPUR

Dengan hanya berbaki dua minggu sebelum berlangsungnya malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), siri jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 bakal menemui destinasi terakhirnya di Outdoor Plaza, Central Market, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2026. Acara ini menjadi peluang istimewa buat peminat untuk mendekati barisan finalis AJL40 dalam suasana santai dan meriah.

Sebagai lokasi penutup siri jelajah, Meet & Greet Yang Ke-40 bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan istimewa, sesi autograf dan peluang bergambar bersama artis pilihan. Acara ini pastinya menjadi ruang buat peminat berinteraksi secara lebih dekat dengan penyanyi serta barisan finalis yang bakal berentap di pentas AJL40.

Dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dengan Ronald McDonald House Charities sebagai badan kebajikan pilihan, acara tersebut bakal dimeriahkan oleh barisan artis popular termasuk Aina Abdul, Amir Masdi, Marsha Milan, Aisha Retno, Wani Kayrie, K.O.I, Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik serta Ryenald Guntabid. Turut membuat penampilan khas ialah Najwa Latif, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan acara untuk para peminat muzik tempatan.

Meet & Greet Yang Ke-40 di Kuala Lumpur bukan sekadar acara bertemu peminat, malah menjadi peluang untuk orang ramai merasai sendiri kemeriahan AJL40 sebelum malam kemuncak berlangsung. Peminat dijemput hadir dan bersama-sama memeriahkan destinasi terakhir jelajah ini pada 1 Ogos 2026, Sabtu, dari jam 4.00 petang hingga 7.00 malam di Outdoor Plaza, Central Market, Kuala Lumpur.