Legenda Aurora Bangkit Semula, Duyung Ikonik Temui Peminat Lama dan Baharu

Nostalgia filem fantasi ikonik Malaysia kembali mewarnai pawagam. Selepas 17 tahun meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, Duyung kini dihidupkan semula dengan nafas baharu menerusi sambungan terbaharu berjudul Duyung Legenda Aurora. Sekuel ini tampil dengan penceritaan yang lebih moden, diserikan dengan lawak spontan serta sentuhan visual yang lebih segar dan mengujakan, sekali gus membawa pengalaman tontonan yang dekat dengan penonton hari ini.

Dihasilkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi ini mengekalkan elemen magis dan humor yang menjadi kekuatan siri asalnya. Diarahkan oleh Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen, Duyung Legenda Aurora menghimpunkan barisan pelakon yang kembali menghidupkan watak ikonik, termasuk Maya Karin, Saiful Apek dan Yasmin Hani. Turut menyertai barisan pelakon ialah Anna Jobling, Ayie Floor88 serta Datuk Yusry Abdul Halim yang membawa dimensi baharu kepada dunia fantasi yang digarap.

Kisah kali ini memaparkan kepulangan Puteri Duyung lakonan Maya Karin yang terpaksa memohon bantuan Jimmy, lakonan Saiful Apek, dan Aspalela yang dibawakan oleh Yasmin Hani selepas anaknya, Aurora lakonan Anna Jobling, diculik oleh sindiket pencuri ikan yang menggunakan pukat tunda haram. Insiden ini mencetuskan satu misi penyelamatan yang penuh cabaran, merentas dua dunia yang saling berkait.

Dalam usaha menyelamatkan Aurora, mereka dibantu oleh Hamlau lakonan Saiful Zero, Dashmond lakonan Ayie Floor88 serta sahabat baharu, Ajaq lakonan Aniq Aqil. Pencarian ini sarat dengan kekacauan, keajaiban dan detik mencemaskan, lebih-lebih lagi apabila Aurora dan Hamlau hanya mampu berada di darat tidak lebih daripada enam jam. Dengan latar dunia laut dan darat yang penuh warna-warni, perjalanan ini bukan sekadar mempertaruhkan nyawa, malah melibatkan cinta, pengorbanan dan masa depan dua dunia yang saling memerlukan.

Menurut Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen, Duyung Legenda Aurora menjanjikan hiburan keluarga yang lengkap dengan adegan aksi mendebarkan serta mesej tentang cinta, keberanian dan warisan. Filem ini diharapkan menjadi tontonan wajib hujung tahun yang bukan sahaja menghiburkan, malah membangkitkan memori manis penonton yang membesar bersama filem Duyung.

Legasi filem Duyung yang diterbitkan pada tahun 2008 kekal utuh dalam sejarah perfileman tempatan. Filem tersebut pernah mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM4.7 juta di 61 pawagam seluruh negara dan seterusnya memenangi Anugerah Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21. Keistimewaannya turut terserlah apabila kira-kira 40 peratus penggambaran dilakukan sepenuhnya di bawah air di lokasi legenda Pulau Sipadan, sekali gus menjadikan watak Puteri Si Duyung antara figura paling dikenali dalam budaya pop Malaysia sehingga hari ini.

Nostalgia yang dirindui kini disambung dengan pengembaraan baharu yang lebih segar. Duyung Legenda Aurora hadir sebagai judul yang dekat di hati generasi 2000-an dan relevan untuk tontonan seisi keluarga. Legasi ini terus diperkukuh dengan lagu ikonik Aspalela yang kekal menjadi rujukan budaya pop, selain dua runut bunyi baharu yang diperkenalkan dalam sekuel ini. Lagu Happy nyanyian Datuk Seri Vida membawa suasana ceria, manakala Hanya Kamu nyanyian Shahir dan Adira menambahkan elemen romantis dan emosional dalam penceritaan.

Duyung Legenda Aurora dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025. Filem ini menjanjikan gabungan nostalgia dan pembaharuan yang bakal menghiburkan serta menghangatkan kembali memori penonton. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.