Kisah ini mengisahkan Aman yang tinggal di sebuah kampung di negeri Kedah bersama ibunya, Nor, serta adik angkatnya, Daniel, yang suatu ketika dahulu merupakan seorang gelandangan. Kehidupan mereka yang sederhana mula diuji apabila perniagaan baharu yang diusahakan berdepan konflik, sekali gus membawa Aman terjebak dalam sebuah sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy.
Penglibatan Edy dalam kegiatan jenayah tersebut sukar dikesan pihak berkuasa kerana dia berselindung di sebalik perniagaan jual beli ikan secara borong, menyebabkan aktivitinya terlepas daripada perhatian pihak polis. Aman yang terperangkap dalam sindiket itu berada dalam dilema apabila menyedari salah seorang mangsa pemerdagangan manusia ialah Fara, seorang remaja yatim piatu yang tinggal sekampung dengannya.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila pihak polis melancarkan serbuan di kawasan hutan berhampiran sempadan negara, menjadikan Aman buruan pihak berkuasa. Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa hidupnya akan berubah sedemikian rupa. Aman bertekad untuk membersihkan namanya di hadapan ibunya, namun bukan dengan cara menyerah diri kepada polis.
Apabila berita penglibatan Aman dalam kegiatan jenayah tersebar dan sampai ke pengetahuan Nor, Daniel serta penduduk kampung, mereka enggan mempercayai dakwaan tersebut. Daniel kemudiannya mengambil keputusan untuk menyiasat kebenaran, namun tindakannya membawa padah apabila dia dibunuh oleh Edy.
Aman terpaksa bersembunyi dan bertahan hidup di dalam hutan selama berminggu-minggu. Makan dan minum bukan lagi keutamaan, sebaliknya keinginannya hanya satu, iaitu untuk pulang bertemu Nor dan menjelaskan segala yang berlaku. Dengan usaha dan doa yang tidak pernah putus, Aman akhirnya berjaya menemui semula ibunya.

Niat Aman untuk menyerah diri kepada pihak polis berubah apabila dia mengetahui tentang kematian Daniel di tangan Edy. Didorong rasa dendam serta keinginan untuk melindungi ibunya daripada menjadi mangsa kekejaman Edy, Aman bertindak membalas perbuatan lelaki itu. Edy akhirnya terbunuh, dengan Nor sendiri menjadi saksi kejadian tersebut.
Aman kemudiannya ditangkap oleh pihak polis. Walaupun berdepan risiko hukuman berat, Aman menerima takdir dengan tenang kerana baginya, selepas semua yang berlaku, tiada lagi sesiapa yang akan mengganggu keluarganya, terutamanya ibunya yang paling dikasihi.