Belum pun seminggu ditayangkan di pawagam, filem seram Khadam sudah mula mencipta gelombang tersendiri dalam kalangan penonton tempatan. Bukan sahaja menjadi bualan hangat di media sosial, malah naskhah ini terus menerima pelbagai reaksi positif daripada mereka yang telah menyaksikannya.
Antara yang mencuri perhatian ialah pelakon dan pengacara terkenal, Yasmin Hani yang menyifatkan Khadam sebagai sebuah karya yang “deserves a space on my grid” serta mengakui filem tersebut masih bermain di fikirannya walaupun tayangan telah berakhir. Sementara itu, Sazzy Falak turut berkongsi keterujaan apabila menyatakan Khadam bukan sahaja memenuhi jangkaannya, malah berjaya melangkaui apa yang diharapkan daripada sebuah filem seram tempatan.
Tidak ketinggalan, pengarah dan pelakon tersohor Datuk Afdlin Shauki turut memberikan pujian apabila menyifatkan Khadam sebagai calon berpotensi untuk meraih pengiktirafan di festival filem akan datang. Kenyataan itu sekali gus menggambarkan keyakinan terhadap kekuatan naskhah serta mutu pembikinan filem berkenaan.

Pujian turut hadir daripada barisan nama besar lain seperti Datin Seri Umie Aida, Sofea Jane, Erma Fatima, Vince Chong, Shahz Jaszle, Sophie Koshka dan Amir Ahnaf. Rata-rata memuji keberkesanan penceritaan, kualiti produksi yang mantap serta pendekatan segar yang dibawakan filem ini. Ada yang menyifatkannya sebagai karya lengkap dan memuaskan, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai nafas baharu dalam genre seram tempatan.
Deretan respons positif daripada figura terkenal tanah air ini membuktikan bahawa Khadam bukan sekadar sebuah filem seram biasa, sebaliknya sebuah karya yang berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Dengan gabungan elemen seram, emosi dan penceritaan yang kuat, filem terbitan Red Communications dan Komet Productions ini terus menerima pujian ramai penggiat industri serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan yang wajib ditonton tahun ini.
Menampilkan Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Jun Lojong serta pelakon cilik Zarra Zhaf dan Karl El, Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu bisu kepada dua orang anak yang terperangkap dalam warisan keluarga berupa saka turun-temurun. Demi melindungi keluarganya, Melor cuba menolak tanggungjawab tersebut, namun tindakannya mengundang gangguan dan kuasa gelap yang mula menguasai hidupnya sehingga dia kehilangan identiti dan dibayangi paranoia. Ketika keadaan semakin tidak terkawal, keluarganya berusaha merungkai kebenaran di sebalik perubahan itu sebelum segalanya terlambat, hingga akhirnya Melor terpaksa melakukan pengorbanan besar untuk menghentikan kegelapan yang tercetus.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri filem yang sedang diperkatakan ramai ini di pawagam seluruh negara. Kongsikan pengalaman anda menggunakan tanda pagar #JanganSampaiJadiTuan dan ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios serta Khadam The Movie untuk mendapatkan perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan pelbagai aktiviti menarik berkaitan filem ini.











