Mini EsportsCon yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) buat pertama kalinya telah menghimpunkan pemegang taruh esukan, termasuk penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa, di bangunan utama Parlimen Malaysia.
Acara ini dianjurkan sempena bagi memberikan penghargaan kepada industri e-sukan di Malaysia yang berkembang pesat dan maju serta mencetuskan perbincangan dan menjalin hubungan antara pemain industri sukan elektronik dan Ahli-ahli Dewan Rakyat iaitu pihak yang bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen dan warga Parlimen yang hadir serta memberikan sokongan kepada acara Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar tentang landskap e-sukan yang semakin berkembang,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, ketika sesi walkabout di Mini EsportsCon, Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.
Kejayaan acara ini tidak lepas dari kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios.
Pelbagai aktiviti yang menarik termasuklah sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan sesi demonstrasi permainan yang memberikan pengalaman secara langsung dengan pelbagai judul permainan. Acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dirancang untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025. Selain itu, MESF turut mengetengahkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri khusus para pemain.