Band alternatif terkemuka tanah air, Pitahati, sekali lagi membuktikan keberanian mereka dalam berkarya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Inchek Karma!”. Bakal menemui pendengar pada 24 April ini di bawah naungan label Luncai Emas, naskhah ini hadir sebagai kesinambungan kepada karya terdahulu mereka, “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, namun dengan pendekatan yang lebih tajam dan reflektif terhadap keadaan semasa.
Mengangkat tema karma sebagai tunjang utama, lagu ini menyentuh tentang segelintir individu yang bertindak sesuka hati dan melakukan kejahatan tanpa menyedari kesan buruk terhadap orang di sekeliling. Mesej utamanya bersifat universal; setiap perbuatan pasti ada balasannya, di mana kebaikan dibalas baik dan kejahatan tidak akan terlepas daripada akibatnya. Walaupun liriknya tidak merujuk kepada mana-mana individu secara khusus, konteks dunia hari ini menjadikan ia sangat relevan sebagai sindiran terhadap golongan berkuasa yang bertindak tanpa empati atau kesedaran sosial.
Kecenderungan Pitahati untuk menyentuh isu politik dan sosial dalam karya ini turut dipengaruhi oleh realiti global yang mencabar. Persekitaran semasa menjadi pemangkin kepada penghasilan lirik yang lebih berani dan berlapis makna. Dari sudut artistik, Pitahati menggunakan simbolisme yang unik, antaranya bunyi ayam berkokok di awal lagu yang membuka ruang kepada pelbagai tafsiran. Ia boleh dilihat sebagai simbol permulaan hari—satu metafora bahawa pembalasan atau ‘karma’ akan tiba tepat pada waktunya—atau sindiran sinis bahawa masyarakat kini sedang ‘diayam-ayamkan’ tanpa disedari.
Seiring dengan pelancaran digital, Pitahati turut akan melancarkan video muzik rasmi pada hari yang sama bagi menawarkan pengalaman visual yang melengkapi naratif lagu ini. Menerusi “Inchek Karma!”, Pitahati berharap agar karya ini menjadi pedoman dan cerminan kepada masyarakat, sekaligus menjadi peringatan penting untuk lebih sedar akan tindakan sendiri serta impaknya terhadap orang lain.