Festival Warisan Selera Timur bawa citarasa asli Pantai Timur ke Lembah Klang

Evo Mall Bangi mempersembahkan ‘Festival Warisan Selera Timur’, sebuah festival selama tiga hari yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Disember di Bandar Baru Bangi. Acara ini berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan warisan Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada masyarakat Lembah Klang. Pengunjung bakal menikmati lebih 100 hidangan ikonik serta pelbagai aktiviti kebudayaan sepanjang festival.

Mengangkat tagline ‘Rasa Ori Tiga Negeri’, festival ini memberi peluang kepada vendor Industri Kecil dan Sederhana dari Pantai Timur untuk memperluas jaringan mereka sambil memperkenalkan juadah autentik kepada pengunjung. Antara menu istimewa yang diketengahkan ialah Satar dan Otak-Otak Warung Azis Satar Kemaman, Keropok Celup Tepung Terengganu dan Ketupat Sotong Dapur Aryani. Turut ditawarkan Nasi Kerabu, Laksa, Laksam, Keropok Gemok Pasar Payang, Temosa Raja Ikan & Telur, Puding Raja, Sambal Hitam Marvel dan pelbagai kuih tradisi. Festival ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha mempromosikan “Visit Malaysia 2026”.

Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim, menyatakan bahawa festival ini bertujuan memperkenalkan budaya, warisan dan kesenian Pantai Timur kepada komuniti luar negeri-negeri tersebut. Dengan kerjasama rakan penaja seperti Noor Arfa Batik, Cap Bunga Ros, Billo Malaysia dan Azue Bridal, penganjuran kali ini mensasarkan kehadiran sehingga 30,000 pengunjung.

Selain hidangan makanan, pengunjung berpeluang menikmati persembahan budaya Pantai Timur. Malam Jumaat menampilkan persembahan Dikir Barat oleh selebriti Issey bersama kumpulan Dikir Exclusive. Malam Sabtu pula diadakan Malam Irama Pantai Timur bersama penyanyi Ameng Spring, Rosma Sidik dan Syafiq Farhain. Turut dipersembahkan Ulek Mayang dari Terengganu dan Joget Pahang. Pada hari Ahad, ‘The Helmis’ akan berkongsi pengalaman mereka berlayar dalam Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti Pertandingan Mewarna, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Silat Gayong, demonstrasi masakan tradisional, Cabaran Batu Seremban dan pertandingan menghias pulut kuning. Festival ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, menjadikannya destinasi hujung minggu sesuai untuk seluruh keluarga.

Orang ramai, khususnya penduduk Lembah Klang, dijemput hadir menikmati pengalaman budaya dan citarasa Pantai Timur apabila ‘Festival Warisan Selera Timur’ berlangsung di Evo Mall Bangi pada 5 hingga 7 Disember 2025. A.M.A. Infinity Solution bertanggungjawab sebagai pengurus acara bagi memastikan festival ini mencapai kejayaan yang diharapkan.