Marsha Milan, yang kini dikenali sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), telah menempuh perjalanan yang penuh liku dan cabaran. Di sebalik pencapaiannya yang gemilang, terdapat banyak detik sukar yang terpaksa ditempuhinya sepanjang dua dekad dalam industri hiburan tanah air.
Pada awalnya, Marsha berhadapan dengan tentangan hebat daripada ibunya yang tidak merestui pilihannya untuk menceburi dunia seni. Bagi sang ibu, industri hiburan bukanlah jalan yang menjanjikan masa depan yang stabil. Namun, Marsha yang tetap berpegang pada impian dan cintanya terhadap muzik tidak pernah menyerah. Beliau terus melangkah ke hadapan, membuktikan bahawa minatnya bukan sekadar angan-angan.
Demi kelangsungan karier, Marsha turut meneroka cabang-cabang lain dalam industri hiburan, termasuk pengacaraan, namun tidak pernah melupakan cita-citanya sebagai seorang penyanyi. Walaupun menghadapi pelbagai dugaan, beliau terus berusaha dengan tekad yang kuat.
“Saya masih ingat, cabaran terbesar bagi saya adalah untuk tetap relevan dalam industri seni. Pada usia saya sekarang, baru saya merasai pendedahan yang lebih luas dan peluang yang datang. Itulah perjalanan yang penuh liku,” kata Marsha mengimbas kembali perjalanan kariernya yang panjang.

Memori awal kemunculannya juga tidak mudah. Dengan bayaran sekitar RM570 untuk beberapa bulan pertama, Marsha hidup dalam keadaan yang jauh daripada keselesaan, apatah lagi dengan sewa rumah yang mencecah RM500 sebulan.
“Saya malu untuk meminta wang daripada ibu bapa kerana mahu membuktikan mereka salah. Pada waktu itu, saya terpaksa meminta bantuan adik-beradik saya untuk meminjamkan wang,” kenangnya.
Namun, walaupun lebih dikenali sebagai pelakon pada mulanya, Marsha tidak mahu dilupakan sebagai penyanyi. Dengan keberanian dan pengorbanan yang besar, beliau menggunakan simpanannya sendiri untuk menghasilkan lagu-lagu baru dan terus memperkukuhkan namanya dalam industri muzik. Keputusan berani itu mula membuahkan hasil apabila lagu-lagu seperti ‘Sumandak Sabah’ dan ‘Bimbang’ mendapat sambutan yang menggalakkan, menjadikan ia titik perubahan dalam kerjaya muziknya.
“Setelah mengeluarkan lagu ‘Bimbang’, saya berpeluang untuk tampil di pentas Muzik-Muzik. Ia adalah pencapaian besar yang tidak pernah saya jangkakan,” katanya dengan rasa syukur yang mendalam.

Berbekalkan usaha tanpa henti dan keyakinan terhadap impian sendiri, Marsha akhirnya berjaya menempah nama sebagai juara AJL39, sekali gus membuktikan bahawa kerja keras dan kepercayaan pada diri sendiri pasti membuahkan hasil. “Never stop believing and never stop dreaming,” kata-kata inilah yang sentiasa menjadi pegangan Marsha, menjadikannya sebagai sumber inspirasi kepada ramai bakat muda yang bercita-cita besar dalam industri seni tanah air.
Sebagai seorang artis yang kini bernaung di bawah Alternate Records & Talent, Marsha juga merancang untuk mengeluarkan lebih banyak lagu dan album pada masa hadapan. Perbincangan mengenai konsert turut dijalankan, dan beliau tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak karya dengan peminat setianya.
Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini Marsha melalui akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talent di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).