Pecah Rekod! Nabila Huda Rangkul Trofi Sulung di Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-21

Pentas berprestij Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) melabuhkan tirainya di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) dengan penuh kejutan apabila menyaksikan dua naskhah teater, Fragments of Tuah terbitan Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company, diumumkan sebagai pemenang bersama kategori utama Persembahan Terbaik 2025.

Momen bersejarah ini menyaksikan kedua-dua karya tersebut mengungguli finalis lain seperti A Salute to Cinema, Animal Farm, TEWAS, dan Visits, di mana penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Kakiseni, Low Ngai Yu dan Pengerusi Eksekutif BOH Plantation, Caroline Russell.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah kejayaan pelakon terkenal, Nabila Huda, yang melakar sejarah peribadi dengan meraih trofi sulung dalam acara anugerah teater bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Malam dalam teater Masmoona. Nabila meluahkan rasa tidak sangka kerana menganggap dirinya masih baru dalam dunia teater dan sangat menghormati bakat rakan seperjuangan yang lain.

Selain kejayaan Nabila, kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi oleh Ileana Matin bagi School of Rock, The Musical, manakala Kingsley Judd membawa pulang trofi Pelakon Utama Terbaik (Teater) menerusi naskhah Someone Who’ll Watch Over Me.

Edisi kali ini turut memberikan penghormatan tertinggi kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor menerusi Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian atas sumbangan berterusan beliau kepada seni Zapin dan dunia seni persembahan tanah air.

Dengan tema ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’, 21BCAA mempertandingkan 40 kategori yang melibatkan 81 penyertaan daripada pelbagai disiplin seni, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama dalam mengiktiraf inovasi dan kecemerlangan karya kreatif di Malaysia.