Industri perfileman tempatan sekali lagi membuktikan kematangan landskap kreatifnya menerusi naskhah seram psikologi paling dinanti-nantikan tahun ini, Khadam, yang diraikan dalam satu Malam Tayangan Perdana penuh gilang-gemilang malam tadi. Selepas berminggu-minggu mencuri perhatian netizen menerusi pelancaran teaser, poster rasmi, dan lagu tema, filem ini kini bersiap sedia untuk membuktikan bahawa ia bukan sekadar seram biasa. Menjelang tayangannya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, naskhah ini tampil sebagai sebuah karya sinematik kelas terseni yang menjanjikan sajian seram emosional bertaraf antarabangsa dengan mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu, iaitu isu pewarisan saka yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji, dan harga mahal yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.

Berlatarbelakangkan era tahun 1950-an, naratif filem ini menjejaki perjalanan emosi Melor, seorang ibu yang berusaha keras melindungi keluarganya daripada entiti saka yang telah diwarisi turun-temurun. Pengarahnya, Shamyl Othman, menjelaskan bahawa naskhah ini lahir daripada keinginan mendalam untuk meneroka sisi gelap budaya tempatan. Beliau membahagikan konsep pewarisan masyarakat Melayu kepada dua, iaitu harta pusaka yang bersifat zahir dan saka yang bersifat ghaib. Melalui Khadam, Shamyl tidak sekadar mahu menjual elemen kejutan atau jumpscare murahan, sebaliknya membedah kesan psikologi, trauma generasi, dan kemusnahan sesebuah institusi keluarga apabila mereka terperangkap dalam perjanjian ghaib yang tidak boleh diundur lagi. Keseraman kisah ini lari daripada acuan biasa kerana ia tidak datang daripada entiti itu sendiri, melainkan daripada runtuhan emosi watak-wataknya.


Keunikan dan kematangan emosi filem ini turut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak yang membina ketegangan melalui lapisan emosi, kesunyian, dan konflik dalaman yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan. Watak Melor sengaja digambarkan sebagai seorang yang kehilangan suara, sama ada secara fizikal mahupun simbolik, sekali guas membiarkan kekuatan visual dan bahasa tubuh mengambil alih peranan dialog bagi menyampaikan penderitaannya sebagai seorang ibu. Pendekatan seni yang berani ini selaras dengan matlamat Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar, yang menegaskan bahawa sejak awal projek, Khadam dibangunkan dengan satu matlamat yang jelas untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya serantau dan antarabangsa dari segi mutu pembikinan, tanpa sedikit pun mengorbankan identiti budaya yang menjadi tunjang penceritaannya.

Aspirasi bertaraf global ini diterjemahkan menerusi kolaborasi mega berskala besar antara dua penerbit tempatan, Red Communications dan Komet Productions, bersama jaringan rakan strategik antarabangsa termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Kerjasama rentas sempadan ini turut menyaksikan bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque, membuat penampilan sulungnya dalam industri perfileman Malaysia sebagai watak utama, bergandingan dengan pelakon berkarisma tempatan, Datuk Remy Ishak. Filem ini turut diperkuatkan oleh barisan pelakon merentas generasi termasuk Siti Khadijah Halim, bakat baharu Karl’ El, pelakon cilik Zarra Zhaff yang mempamerkan kematangan luar biasa, serta penampilan istimewa Jun Lojong.


Suasana magis dunia Khadam yang sarat dengan emosi turut dibawa ke ruang nyata pada Malam Tayangan Perdana malam tadi melalui reka bentuk bunyi yang dramatik—menggabungkan elemen hujan, guruh, dan audio yang membangkitkan rasa gelisah penonton—sebelum diserikan dengan persembahan bertenaga daripada Ernie Zakri yang mendendangkan lagu tema rasmi, Tak Berlagu. Impak majlis tersebut turut diserlahkan menerusi penampilan barisan pelakon yang menggayakan busana eksklusif daripada Behati serta sokongan rakan hospitaliti seperti Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel, Hyatt House Hotel, dan penaja minuman Per’l.
Reaksi awal daripada penggiat industri dan pihak media selepas tayangan tamat memperlihatkan nada yang amat memberangsangkan, dengan rata-ratanya memuji keberanian filem ini menggabungkan drama keluarga yang matang dengan elemen gangguan psikologi tanpa bergantung kepada formula seram konvensional. Diedarkan oleh GSC Movies dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama, Khadam yang dijadualkan menemui pasaran Singapura dan Indonesia selepas ini bukan sekadar sebuah naskhah hiburan, tetapi sebuah naskhah seni bertaraf tinggi yang akan terus mengganggu fikiran penonton tentang erti cinta dan pengorbanan lama selepas lampu dewan pawagam kembali menyala.










