Cradle Bangkit Selepas 20 Tahun: ‘Hela Nafasku’ Hidupkan Semula Legasi Rock Nusantara

Cradle kembali mewarnai dunia rock tempatan dengan penuh bertenaga apabila mereka akhirnya melancarkan album studio terbaharu, Hela Nafasku, setelah hampir dua dekad tanpa sebarang rilisan penuh. Showcase Cradle Live! yang berlangsung pada 14 November 2025 di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur menjadi pentas yang menyatukan semula peminat lama dan baharu, sekali gus menandakan kebangkitan rasmi band legenda ini.

Kemunculan album baharu ini membawa makna besar buat Cradle. Menurut pengasasnya, Addy Rasidi, Hela Nafasku bukan sekadar projek muzik, malah kesinambungan legasi Cradle yang berakar dalam identiti rock Nusantara. Proses pembikinan album yang mengambil masa dua tahun ini turut menandakan perjalanan tiga dekad Cradle sejak ditubuhkan pada 1995. Dalam era muzik yang banyak bergantung kepada single, Cradle memilih untuk mempertahankan tradisi album penuh sebagai karya seni yang lengkap.

Cradle kini tampil dengan barisan anggota baharu yang memberi dimensi segar kepada perjalanan muzik mereka. Addy kekal sebagai gitaris utama, manakala posisi vokalis kini dipikul oleh Eiz Mohd. Mereka turut disertai Zul Wahab di posisi bes dan Adha Lizam sebagai pemain dram. Addy mengakui perjalanan mencari anggota yang benar-benar serasi bukan mudah, namun gabungan terkini ini akhirnya berjaya mencipta identiti muzik yang lebih mantap dan matang.

Showcase Cradle Live! bukan sekadar acara pelancaran album, tetapi juga malam penuh nostalgia yang menyentuh hati peminat. Legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip, turut hadir sebagai tamu khas dan memberi sentuhan istimewa kepada perjalanan seni Cradle. Kehadiran beliau mencipta momen penuh makna yang merangkumkan hubungan erat di antara dua generasi pemuzik.

Album Hela Nafasku memuatkan 11 buah lagu yang dirakam di Studio 47, Singapura serta Studio Sonic, Malaysia. Sebahagian besar lagu dicipta oleh Addy dan Eiz, dengan Addy turut bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik. Di bawah label Rasa Karya yang diterajui Datuk Ramli Sarip sebagai Penasihat Eksekutif, album ini melalui proses kreatif yang teliti sejak 2023, selepas Eiz akhirnya bersetuju menyertai Cradle setelah lima tahun mempertimbangkan tanggungjawab tersebut.

Cradle sebelum ini pernah mencipta fenomena menerusi album sulung Gurindam Keluli pada 1996 serta Ceritera Awan yang memenangi Anugerah Lagu Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008. Eiz yang pernah berpengalaman bersama Gerilia dan Exists menyifatkan peranan sebagai vokalis Cradle sebagai cabaran besar, namun percaya gabungan empat pemuzik ini membawa warna yang tidak dimiliki mana-mana band tempatan lain.

Showcase yang berlangsung pada malam Jumaat itu bermula dalam suasana santai sejurus selepas sesi bufet makan malam. Cradle kemudian menggegarkan pentas dengan rangkaian lagu baharu dan klasik. Energi penonton yang hadir mengesahkan bahawa nama Cradle masih kuat bertapak dalam hati peminat rock Malaysia. Kebangkitan ini menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak projek seni dan persembahan yang bakal dibawakan selepas ini.

Set list persembahan malam itu dimulakan dengan “Ku Mencari” sebelum diteruskan dengan “Ikrar Ku”, “Pesona” dan “Sementara”. Segmen khas bersama Datuk Ramli Sarip mempersembahkan “Istilah Bercinta”, “Panah Beracun” dan “Teratai” bersama Eiz. Showcase ditutup dengan “Lara”, “Bangkit” dan “Ayuh” sebagai kemuncak yang menghangatkan suasana hingga ke akhir acara.