PPIM Sokong Ketegasan PDRM: Perketat Undang-Undang dan Kenakan Hukuman Sebat Terhadap Scammer

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan sokongan terhadap cadangan Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohd Khalid Ismail, supaya undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian diperkemas dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi, berkata langkah lebih tegas diperlukan bagi menangani kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang semakin berleluasa serta menyebabkan kerugian kewangan kepada orang ramai.

Menurut beliau, undang-undang sedia ada perlu dikemas kini bagi mengambil kira taktik penipuan yang semakin canggih. Beliau turut berpandangan bahawa hukuman yang lebih berat diperlukan sebagai langkah pencegahan terhadap individu dan sindiket yang terlibat dalam jenayah tersebut.

PPIM turut menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke peringkat kementerian bagi membolehkan hukuman lebih berat terhadap pesalah penipuan dalam talian dipertimbangkan.

Selain itu, PPIM menyokong cadangan mengenakan hukuman sebat dan hukuman penjara yang maksimum terhadap sindiket scammer, dengan mengambil kira kesan kewangan dan sosial yang dialami mangsa.

PPIM turut mengesyorkan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), termasuk membekukan dan merampas aset yang diperoleh melalui aktiviti haram.

Pada masa sama, PPIM menggesa kerajaan memperketatkan kawalan terhadap institusi kewangan dan platform digital bagi membantu memutuskan rangkaian operasi penipuan dalam talian.

PPIM menyeru pihak berkuasa, penggubal undang-undang dan masyarakat untuk bersama-sama menangani jenayah penipuan dalam talian serta meningkatkan perlindungan terhadap orang ramai daripada kerugian akibat scam.