Ayam Brand™ Perkasa Gaya Hidup Sihat Menerusi Program Makan Bijak 2025

Pemakanan seimbang memainkan peranan penting dalam perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak. Hidangan berkhasiat membantu menguatkan tubuh, meningkatkan daya tumpuan dan mengekalkan tenaga, seterusnya membentuk asas pembelajaran yang yakin dan kreatif. Seni pula mengaktifkan imaginasi, empati dan ekspresi diri, memberi ruang kepada kanak-kanak untuk memahami dunia melalui perspektif yang lebih luas.

Dengan menghubungkan dua elemen ini, Makan Bijak Bersama Ayam Brand 2025 menunjukkan bagaimana pemakanan sihat mampu menyemarakkan kreativiti serta memperkasa murid untuk berfikir, berimaginasi dan berkarya melangkaui bilik darjah.

“Kanak-kanak sememangnya kuat berimaginasi. Apabila pemakanan yang baik digabungkan dengan seni, kita membantu mereka memahami bahawa gaya hidup sihat bukan sekadar rutin, tetapi juga mencerminkan kreativiti, keyakinan dan ekspresi kendiri,” kata Teoh Wei Ling, Ketua Pemasaran A Clouet (Malaysia) Sdn. Bhd. (Ayam Brand).

Program ini merupakan kerjasama antara Ayam Brand, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Lebih 6,300 murid daripada 30 sekolah rendah telah menyertai tiga komponen utama program iaitu Sesi Ceramah Pemakanan, Pertandingan Seni Individu dan Pertandingan Mural Antara Sekolah.

Inisiatif ini dibina atas dua matlamat utama. Pihak sekolah melihatnya sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggalakkan murid mengamalkan gaya hidup sihat melalui gabungan nutrisi dan kreativiti. Bagi Ayam Brand pula, ia mencerminkan komitmen berterusan jenama tersebut dalam mempromosikan makanan berkhasiat, semula jadi dan bebas bahan pengawet yang dapat menyatukan keluarga serta komuniti.

Majlis penyampaian hadiah berlangsung dari 24 hingga 26 November 2025 di sekolah pemenang masing-masing. Wakil Jabatan Pendidikan Negeri turut hadir bagi meraikan pencapaian dan semangat kolaboratif dalam kalangan murid.

“Inisiatif ini merupakan contoh terbaik pembelajaran melalui pengalaman. Ia menggabungkan seni dengan nutrisi dan nilai murni serta memberikan keyakinan kepada murid untuk mengekspresikan diri secara kreatif,” kata Encik Muslim bin Mustafa, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sesi Ceramah Pemakanan yang dijalankan antara Julai hingga September memberi pendedahan kepada murid mengenai pemakanan seimbang, Pinggan Sihat Malaysia dan konsep Suku Suku Separuh serta idea penyediaan bekal sihat. Ayam Brand turut mengagihkan pek hadiah termasuk Santan Kelapa Ayam Brand dan Ayam Carik Mayones bagi menggalakkan amalan makan sihat di rumah.

Pertandingan Seni Individu yang berlangsung dari Jun hingga Oktober mengajak pelajar menzahirkan bagaimana pemakanan sihat mampu menyemarakkan kreativiti. Bertemakan “Gaya Hidup Sihat dan Ceria bersama Ayam Brand”, sebanyak 150 penyertaan dinilai berdasarkan kreativiti, mesej dan daya tarikan visual.

Pertandingan Mural Antara Sekolah menjadi acara kemuncak program. Dinding sekolah bertukar menjadi kanvas yang memaparkan mesej kesihatan, kerjasama dan imaginasi melalui mural yang dihasilkan oleh 30 pasukan. Markah diberikan berdasarkan kreativiti, visual dan mesej, selain penglibatan media sosial melalui tanda pagar #Sihat&CeriaBersamaAyamBrand dan #MakanBijakBersamaAyamBrand.

“Saya belajar bahawa makanan sihat memberi lebih tenaga untuk saya melukis dan bermain. Pasukan kami melukis mural tentang bagaimana makanan yang baik menjadikan kami gembira dan kuat, dan kini semua warga sekolah boleh melihatnya setiap hari,” kata Alya Hani, 11 tahun, dari SK Taman Seri Gombak 2.

Program ini bukan sekadar pertandingan. Ia menyemai kesedaran tentang pentingnya pemakanan sihat, kreativiti dan komuniti dalam kalangan murid sekolah rendah. Makan Bijak Bersama Ayam Brand 2025 membuktikan bahawa gaya hidup sihat dan kreativiti saling menguatkan dalam membentuk generasi yang lebih ceria, yakin dan berdaya saing.

Ayam Brand yang wujud sejak 1892 kekal sebagai jenama dipercayai di Asia, terkenal dengan komitmen terhadap kualiti, bahan semula jadi dan produk bebas bahan pengawet. Di samping menyajikan pilihan makanan sihat, jenama ini terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui program pendidikan dan inisiatif kelestarian.