Pengunjung yang bakal menghadiri Everse 2026 pada 18 dan 19 Julai ini berpeluang merasai sendiri suasana Genting Highlands menerusi penyertaan Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel, Trademark Collection by Wyndham. Penyertaan kedua-dua hotel yang berada di bawah NCT Group of Companies (NCT Group) itu dijangka menambah kemeriahan acara yang berlangsung di Hextar World, Empire City dengan pelbagai aktiviti interaktif serta tawaran eksklusif untuk para pengunjung.
Everse 2026 dianjurkan dengan kerjasama SEGi University College sebagai platform yang meraikan budaya belia menerusi gabungan e-sukan, K-pop, cosplay, keusahawanan dan pencipta kandungan digital. Acara selama dua hari itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai latar belakang yang ingin menikmati pengalaman hiburan dan gaya hidup dalam satu lokasi.

Bagi memeriahkan penyertaan mereka, Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel menyediakan sebuah booth khas yang membolehkan pengunjung mengenali lebih dekat keunikan hotel berkenaan. Pelbagai tarikan utama diperkenalkan termasuk bilik bertema, dek pemerhatian, Edge Skywalk Hoverland yang terkenal dengan pemandangan panorama tanah tinggi serta Hard Rock Cafe Genting Highlands yang menjadi antara destinasi pilihan pelancong.
Selain mendapatkan maklumat mengenai hotel, pengunjung turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti menyeronokkan seperti sesi fotografi dengan latar belakang Genting Highlands, permainan “Guess the Destination” yang menguji pengetahuan mengenai lokasi pelancongan serta Mystery Box yang menawarkan pengalaman meneka barangan berkaitan hotel. Aktiviti ini direka bagi memberikan pengalaman lebih dekat kepada orang ramai terhadap jenama hospitaliti tersebut.
Sempena Everse 2026, satu tawaran khas turut diperkenalkan menerusi Rockstar Stay Package yang ditawarkan pada harga RM488. Pakej ini merangkumi penginapan selama satu malam di 1001 Nights Hotel untuk dua orang, sarapan pagi, set hidangan di Hard Rock Cafe Genting Highlands serta hadiah eksklusif daripada Hard Rock Cafe, menjadikannya antara promosi paling menarik sepanjang acara berlangsung.

Setiap pengunjung yang hadir juga akan menerima kad cop bagi menyertai cabutan bertuah Everse Lucky Draw. Mereka hanya perlu melengkapkan tiga aktiviti di booth Wyndham Ion Majestic Hotel untuk mendapatkan cop sebelum menebus hadiah percuma yang disediakan, sekali gus menjadikan pengalaman mengunjungi booth lebih menyeronokkan.
Naib Presiden Eksekutif Ion Majestic Hospitality Sdn Bhd merangkap Ketua Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan NCT Group, Tee Yih Fung berkata, penyertaan di Everse 2026 merupakan peluang terbaik untuk memperkenalkan pengalaman hospitaliti yang ditawarkan oleh Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel kepada generasi muda. Menurut beliau, nilai kreativiti, hubungan serta pengalaman baharu yang diketengahkan oleh Everse selari dengan komitmen hotel dalam mencipta detik-detik bermakna untuk setiap tetamu yang berkunjung.
Terletak di dalam pembangunan Grand Ion Majestic di Genting Highlands pada ketinggian kira-kira 6,000 kaki dari aras laut, Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel menawarkan gabungan kemewahan, rekreasi dan gaya hidup moden dalam suasana tanah tinggi yang nyaman. Dengan pelbagai kemudahan seperti rooftop sky pyramid tertinggi di Malaysia, kolam renang air panas, jambatan kaca serta ruang acara moden, kedua-dua hotel ini terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pilihan bagi mereka yang mencari pengalaman percutian premium di Genting Highlands.












