TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Lima Bintang Bakal Gegar Satu Pentas Menerusi Konsert A Night of Soul

Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan sebuah persembahan berskala besar menerusi konsert A Night of Soul yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember 2026 bertempat di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines. Konsert istimewa penghujung tahun ini menampilkan penyanyi tersohor dari Indonesia, Cakra Khan, yang bakal berkongsi pentas bersama empat nama besar industri muzik tempatan iaitu Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan Khai Bahar. Turut memeriahkan malam berprestij berkenaan ialah penyanyi muda berbakat besar, Nabiha Aimi, yang dipilih sebagai artis pembuka tirai bagi menghangatkan suasana sebelum persembahan utama bermula.

Mengangkat tema “Satu Pentas, Lima Jiwa, Satu Pengalaman Muzik Istimewa”, penganjuran konsert ini menjanjikan pertembungan pelbagai genre serta warna muzik yang diikat menerusi keampuhan vokal tersendiri setiap artis yang terlibat. Penonton bakal dibawa menyelami alunan vokal penuh jiwa Cakra Khan, aura rock bertenaga yang sinonim dengan legenda Datuk Amy Search, kelantangan serta kehebatan vokal Datuk Ziana Zain, di samping rangkaian lagu romantis dan menyentuh perasaan daripada Siti Nordiana serta Khai Bahar. Gabungan rentas generasi dan dua negara serumpun ini dilihat mampu mencipta dimensi hiburan yang segar serta memukau.

Menurut penganjur bersama, Starlika dan Astana Global, penganjuran A Night of Soul bertujuan menyediakan platform khas bagi meraikan kehebatan seni persembahan dan kualiti vokal sebenar, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati pengalaman muzik secara langsung yang lebih dekat dan bermakna bersama idola kesayangan mereka. Bagi peminat yang ingin menyaksikan gandingan lima bintang berpengaruh ini, tiket sudah mula dijual menerusi laman sesawang www.ticketmelon.com pada harga bermula RM188 bagi kategori Pearl, diikuti Gold (RM288), Ruby (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP (RM688) sehingga RM888 bagi kategori VVIP.