Nestlé Malaysia mengumumkan bahawa syarikat berjaya mengurangkan emisi gas rumah hijau (GHG) sebanyak 31% berbanding nilai asas pada tahun 2018, sekali gus mengatasi sasaran interim pengurangan sebanyak 20% yang ditetapkan bagi tahun 2025.
Pencapaian ini mencerminkan hasil usaha berterusan yang dilaksanakan di seluruh operasi dan rantaian nilai syarikat, termasuk peralihan kepada penggunaan tenaga elektrik boleh diperbaharui 100%, peningkatan kecekapan pengeluaran, pelaksanaan amalan pertanian regeneratif, pemerolehan bahan yang lebih lestari serta inisiatif pembungkusan kitaran.
Kejayaan tersebut dicapai seiring dengan usaha Malaysia memperkukuhkan agenda iklim negara menerusi Sumbangan Ditentukan Negara ketiga (NDC 3.0) yang dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 2025.
Komitmen baharu itu menggariskan langkah seterusnya Malaysia dalam mencapai aspirasi jangka panjang untuk merealisasikan emisi gas rumah hijau sifar bersih menjelang tahun 2050. Kemajuan yang dicapai oleh Nestlé Malaysia memperlihatkan bagaimana sektor perniagaan turut memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, pengurangan emisi GHG sebanyak 31% merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen pasukan dan rakan kerjasama syarikat selama bertahun-tahun.
Menurut beliau, walaupun syarikat berbangga dengan kemajuan tersebut, perjalanan ke arah mencapai Emisi Bersih Sifar masih memerlukan usaha berterusan.
Beliau berkata, kelestarian menjadi sebahagian daripada cara Nestlé Malaysia mencipta nilai bersama, merangkumi penggunaan tenaga di kilang, pemerolehan bahan mentah, pembungkusan, pemuliharaan ekosistem dan pelaksanaan program komuniti.
Beliau turut menegaskan bahawa syarikat akan terus melabur, memacu inovasi serta bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar sambil membina masa depan yang lebih lestari untuk Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pencapaian matlamat iklim negara memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia membuktikan bahawa pengurangan pelepasan karbon boleh diintegrasikan dengan berkesan dalam operasi perniagaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka panjang, sekali gus menyumbang kepada agenda penyahkarbonan negara.
Penolong Naib Presiden Nestlé S.A. dan Ketua Kelestarian bagi Zon Asia, Oceania dan Afrika, Katarzyna Grzybowska berkata, kemajuan di Malaysia membuktikan bahawa cita-cita kelestarian global mampu diterjemahkan kepada tindakan tempatan yang memberi impak.
Beliau berkata, usaha mengurangkan emisi secara bermakna memerlukan komitmen jangka panjang, pelaburan berterusan serta kerjasama di seluruh rantaian nilai.
Pencapaian tersebut diumumkan semasa majlis “Nestlé: Sustainability Connected” yang mengetengahkan pelbagai inisiatif kelestarian syarikat merangkumi kerjasama bersama pembekal dan peladang tempatan dalam melaksanakan amalan pertanian regeneratif, penggunaan tenaga elektrik boleh diperbaharui sepenuhnya serta peningkatan kecekapan proses pembuatan.
Nestlé Malaysia turut memperkukuhkan usaha mengurangkan impak pembungkusan terhadap alam sekitar melalui pengurangan penggunaan plastik dara, penambahbaikan reka bentuk pembungkusan, peningkatan penggunaan PET kitar semula serta memperluaskan aktiviti kutipan selepas penggunaan.
Salah satu inisiatif utama ialah Nestlé KITAR yang dilancarkan sebagai platform baharu bagi Projek SAVE (Asingkan, Elakkan, Hargai, Didik), iaitu program Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan terbesar di Malaysia yang telah berjaya memulihkan dan mengitar semula sebanyak 50,000 tan bahan bercampur kering, termasuk 32,000 tan plastik.
Di peringkat komuniti, program MILO Energy for Good telah melibatkan lebih daripada 200 sekolah menerusi pendidikan kitar semula dan projek mengubah karton minuman terpakai menjadi perabot sekolah serta peralatan sukan.
Selain usaha mengurangkan emisi dan memperkukuhkan ekonomi kitaran, Nestlé Malaysia turut meneruskan komitmen penanaman semula hutan.
Selepas berjaya menanam tiga juta pokok menerusi Projek RELeaf, syarikat kini menyasarkan penanaman tiga juta lagi pokok menjelang tahun 2030 bagi menyokong pemeliharaan biodiversiti serta meningkatkan daya tahan iklim negara.
Kesemua usaha ini mencerminkan pendekatan menyeluruh Nestlé Malaysia terhadap kelestarian dengan mengurangkan impak alam sekitar dalam operasi syarikat sambil memperluaskan manfaat kepada rantaian nilai dan komuniti.
Selepas berjaya mengatasi sasaran interim 2025, Nestlé Malaysia kini memberi tumpuan untuk mencapai sasaran seterusnya iaitu mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 50% menjelang tahun 2030 sebagai langkah ke arah merealisasikan Emisi Bersih Sifar menjelang tahun 2050.













