WAHANA SATUKAN SIQMA & HAZWANI HELMI

Rentetan itu, nama Siqma, 30, atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak sudah meniti di bibir peminat lantaran rap yang disampaikan memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi. Ia sekali gus menjadikan Siqma berbeza daripada kebanyakan rapper seangkatan dengannya.

Malah, mungkin ramai tidak tahu Siqma juga jurutera bunyi untuk lagu tema filem Polis Evo 3 berjudul Ayuh yang dinyanyikan oleh Malique, Kmy Kmo, Aman RA dan Ernie Zakri.

Selepas berkolaborasi dengan beberapa penyanyi, Siqma kini muncul bersama penyanyi Hazwani Helmi menerusi lagu Wahana yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Jun 2023.

Umum mengetahui, Hazwani yang juga adik kepada penyanyi Heliza Helmi ialah aktivis yang banyak menjalankan misi kemanusiaan di luar negara selain memperjuangkan agama Islam. Disebabkan itu, Hazwani cukup dikenali sebagai Srikandi kerana keberanian dan semangat yang ditunjukkan.

Lagu terbitan bersama Masyhur dan Beegood Music Productions itu adalah hasil ciptaan komposer Amir Hufaz dan Shukri Sahari serta lirik oleh Cheb Ali dan Isma Sane itu membawa mesej yang cukup besar iaitu berkongsi kebaikan sesama manusia dan tidak putus asa.

Menurut Siqma, proses rakaman lagu Wahana itu mengambil masa tiga hari untuk disiapkan.

“Alhamdulillah, proses rakaman lagu Wahana bersama Hazwani ini berjalan dengan lancar hanya mengambil masa tiga hari untuk disempurnakan bersama komposer Wan Salleh, Amir Hufaz, Hazwani Helmi dan pasukan produksi Universal Music Malaysia dan Beegood.

“Begitu juga dengan proses penggambaran video muzik (MV) yang mana ia berjalan lancar hanya mengambil masa sehari. Terima kasih kepada pihak produksi yang sangat mudah bekerja dan profesional,” katanya.

Dalam masa sama, Siqma berkata, konsep MV diselarikan dengan maksud yang diketengahkan dalam lagu Wahana.

“Konsep MV ini adalah ingin membawa maksud kebaikan iaitu landasan atau panduan yang dapat mengubah haluan dan hati manusia juga menerangi dan mewarnai kegelapan pada setiap jiwa.

“Sepanjang penggambaran tiada sebarang cabaran, alhamdulillah dan syukur semuanya berjalan dengan lancar dan mudah,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hazwani, Siqma berkata Hazwani seorang yang cukup profesional.

“Walaupun ini pertama kali bekerjasama dalam lagu, Hazwani seorang yang sangat profesional dan toleransi dalam bekerjasama. Syukur,” katanya.

Sementara itu, Hazwani, 26, atau nama sebenarnya Nur Hazwani Afiqah Helmi bersyukur dan teruja sebaik sahaja mendapat lagu itu.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Kalau sebelum ini saya banyak jalankan misi kemanusiaan termasuk mendekati pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Jadi, tujuannya tidak lain adalah untuk membuat kebaikan dan masuk ke syurga. Itu juga adalah maksud yang terkandung di dalam lirik lagu ini. Mesej di dalam lagu ini juga membuatkan saya rasa sangat bagus untuk dipromosikan,” katanya.

Pun begitu, Hazwani mengakui wujud cabaran menyanyikan lagu Wahana disebabkan lirik lagu menggunakan bahasa Arab.

“Proses rakaman lagu ini terbahagi kepada dua sesi di mana yang pertama boleh dikatakan, ia adalah eksperimen. Ini kerana, saat pertama kali berada di studio rakaman, kami baru sahaja mahu membahagikan bahagian masing-masing. Selepas sesi itu berlangsung, ada beberapa perkara yang membuatkan lagu ini kedengaran agak bagus. Disebabkan ada pelbagai perbincangan dan percubaan, sesi rakaman pertama itu terasa sangat menyeronokkan walaupun ada juga rasa tekanan.

“Tekanan itu disebabkan ada lirik dalam bahasa Arab dan saya banyak kali ditegur kerana menyanyikannya dengan gaya bacaan al-Quran. Disebabkan ia bahasa Arab masyarakat Mesir, jadi ada kesukarannya, namun tetap menyeronokkan.

“Pada sesi kedua pula kami sudah mula merakamkan lagu ini dengan lebih berstruktur disebabkan sudah berlatih dan lebih bersedia. Lenggok Arab itu juga dikurangkan kerana nampak lagu ini sebenarnya jenis ‘sing along’. Disebabkan mahu menarik ramai pendengar, jadi kami kurangkan lenggok bahasa Arab itu termasuk memperkemaskannya lagi,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Siqma, Hazwani berkata Siqma sangat memudahkan kerja ketika proses rakaman.

“Walaupun saya nampak dia seperti seorang pendiam pada awalnya, tapi selepas mula bekerja dengannya tenyata berbeza. Dia sangat mesra dan sentiasa mencuba untuk berikan yang terbaik dalam projek ini.

“Sebelum ini saya tidak pernah berduet dengan lelaki secara berdua sahaja. Disebabkan itu, ada sedikit kerisauan pada awalnya. Namun, saya sangat bersyukur kerana Siqma sangat memahami dan menghormati batas saya. Ia secara tidak langsung memudahkan kerja,” katanya.

Apa yang pasti, Hazwani berharap lagu Wahana dapat diterima baik.

“Sebenarnya saya suka menulis lagu dan menyanyi, tapi bukan secara umum. Saya berada dalam industri ini juga disebabkan kakak saya, Heliza Helmi kerana mungkin boleh bersama-sama dengannya menyebarkan mesej kebaikan menerusi lagu. Ini adalah tanggungjawab untuk sekurang-sekurangnya memberi manfaat.

“Saya juga berharap lagu ini diingati ramai dan dapat menembusi pelbagai platform. Doa saya juga lagu ini berjaya dalam negara dan kalau ada rezeki, saya juga berharap lagu ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Lagu Wahana turut mendapat sentuhan ‘arranger’ Shukri Sahari dan penerbit Wan Saleh, Shukri Sahari, Cheb Ali dan Amir Hufaz sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara MV boleh ditonton di saluran YouTube Masyhur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *