Pasukan Polis di Raja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan skim penyelewengan dan menyeludup diesel bersubsidi bernilai RM 1.05 juta semasa Ops Tiris

OPS TIRIS diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 1 Mac dan akan berlangsung hingga 31 Ogos 2023. Matlamatnya adalah untuk menghentikan kecurian dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang telah merugikan kerajaan. wang dan mengekalkan bekalannya daripada sampai kepada orang yang berhak mendapatnya. KPDN bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan undang-undang serantau, termasuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Jabatan Kastam Malaysia, dalam semua operasi berkaitan, termasuk OPS BERSEPADU dan OPS TIRIS.

Baru-baru ini pada 28 April 2023 di Bukit Kayu Hitam, satu (1) kes berkaitan penyeludupan minyak diesel bersubsidi telah dikesan dan diambil tindakan oleh pihak PDRM melibatkan pasukan dari Bukit Aman. Pihak PDRM telah membuat serbuan di sebuah premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Dalam operasi tersebut, PDRM telah menahan sembilan (9) orang suspek yang mana tiga (3) orang merupakan lelaki warga tempatan, manakala enam (6) orang lagi merupakan warganegara Thailand yang 2 ketika itu sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di premis berkenaan. Pihak PDRM seterusnya bertindak menyita minyak diesel yang di anggarkan sekitar 135,760-liter dengan nilai rampasan RM291,884.00. Tujuh (7) buah lori turut disita di mana salah sebuah dari nya bernombor pendaftaran tempatan. Baki enam (6) buah lagi merupakan lori bernombor pendaftaran Thailand.

Antara barang-barang lain yang turut disita semasa operasi tersebut termasuklah sepuluh (10) unit skid tank, tiga (3) unit mesin pam minyak, lapan (8) unit nozzle pump, dua (2) unit tangki silinder, wang tunai sebanyak THB Thailand 192,902, tujuh (7) unit kunci kenderaan, dua (2) unit alat kawalan jauh dan beberapa dokumen berkaitan. Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM1.057 juta. Kesemua suspek telah ditahan bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

KPDN mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di atas kerjasama yang diberikan dalam mengekang penyelewengan minyak diesel dan barang-barang kawalan lain di negeri-negeri sempadan terutamanya di negeri Kedah.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti seperti berikut;

  • Bagi mana-mana orang perseorangan; didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 Juta (tiga juta ringgit) atau penjara 3 tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali;
  • Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta (dua juta ringgit) dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta (lima juta ringgit).

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS dari 1 Mac hingga 28 April 2023, sebanyak 495 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negeri Kedah. Daripada jumlah itu sebanyak 24 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,667 juta.

KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini. Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613). Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang 4 merugikan negara.

KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas dan berhemah di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian / eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.

KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan. Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak rakyat Malaysia yang sepatutnya menikmati subsidi ini.

Pada masa yang sama orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat terutama yang berkaitan kegiatan yang mencurigakan kepada Pejabat KPDN melalui saluran aduan seperti berikut

  1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
  2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
  3. Call Centre 1-800-886-800;
  4. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my)
  5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
  6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *