NEX bersama Fattah Amin telah melancarkan kempen solidariti khas bertajuk “NEX & Fattah Amin Bersama Palestin” di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kempen ini bukan sekadar bertujuan untuk mengutip dana, sebaliknya menjadi sebuah gerakan penyatuan rakyat Malaysia melalui keperluan harian, dengan mesej bahawa walaupun sekecil tindakan membeli sebotol air, ia mampu menjadi lambang harapan kepada rakyat Palestin.
Pada 17 Oktober 2025, rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menjayakan misi membeli 500,000 botol NEX dalam tempoh 24 jam. Setiap botol akan menyumbang RM0.50, dengan sasaran kutipan kolektif berjumlah RM250,000 yang akan disalurkan terus ke Gaza melalui badan kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia (CGM). Inisiatif ini diinspirasikan daripada tindakan rakyat Mesir yang menghantar botol berisi makanan ke Gaza melalui laut, yang membawa makna bukan sekadar bekalan tetapi juga harapan. Pemilihan bulan Oktober pula penuh dengan simbolik, memperingati tragedi 7 Oktober 2023 dengan semangat untuk mengubahnya menjadi tarikh penuh harapan.
Dalam majlis pelancaran, Fattah Amin menegaskan bahawa kempen ini adalah usaha menggunakan platform hiburan dan gaya hidup untuk tujuan yang lebih besar. “Ini bukan sekadar tentang sebuah jenama; ini tentang menyatukan rakyat Malaysia demi sebuah harapan. Kami berharap setiap hirupan membawa doa, dan setiap pembelian menyampaikan harapan,” katanya. Turut hadir, Imam Muda Asyraf menyeru masyarakat melihat inisiatif ini sebagai amalan kebaikan. “Pada hari Jumaat yang mulia itu, membeli sebotol air boleh menjadi sadaqah jariah, pahala berpanjangan untuk membantu saudara kita di Palestin,” jelasnya.

Kempen bertema “Satu Hari, Satu Misi – 17.10.25” ini akan menampilkan Botol Edisi Terhad NEX yang boleh diperoleh melalui TikTok Shop serta di 500 masjid seluruh negara. Fattah Amin dan Imam Muda Asyraf juga akan membuat penampilan khas di beberapa masjid terpilih sekitar Lembah Klang. Setiap botol yang dibeli bukan sahaja sebagai simbol hidrasi, tetapi juga titisan kasih sayang yang menyumbang kepada lautan harapan.
NEX, sebagai jenama minuman tempatan, sentiasa menekankan kualiti dan peranan komuniti dalam setiap inisiatifnya. Melalui kerjasama dengan Cinta Gaza Malaysia (CGM), sebuah NGO kemanusiaan yang komited menyampaikan bantuan terus kepada rakyat Gaza, kempen ini diyakini dapat memberi impak yang bermakna.
Masyarakat Malaysia diajak untuk bersama-sama menjadikan tarikh 17 Oktober 2025 sebagai hari kebersamaan, doa, dan solidariti. Dengan setiap botol NEX yang dibeli, kita bukan sahaja menghilangkan dahaga, tetapi turut menyumbang kepada perjuangan kemanusiaan yang lebih besar.