Cabaran dalam rumah tangga apabila pasangan berdepan dengan impian memiliki cahaya mata menjadi fokus utama dalam Tonton Original Movie terbaharu, Isteri Ke-2 yang bakal menemui penonton secara eksklusif menerusi platform Tonton pada 16 September 2026.
Mengangkat kisah pasangan Trying To Conceive (TTC), naskhah ini membawa penonton menyelami konflik emosi apabila keinginan untuk bergelar ibu bapa memberi tekanan besar terhadap hubungan suami isteri.
Arahan Syed Fariz dan terbitan Anomalous Films, Isteri Ke-2 menampilkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Azira Shafinaz dan Baizura Kahar.
Kisah ini berpusat kepada watak Azrul yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim, seorang suami yang membuat keputusan untuk berpoligami bersama Sarah lakonan Azira Shafinaz demi mendapatkan zuriat.
Keputusan tersebut bagaimanapun memberi kesan besar terhadap rumah tangganya apabila Maya yang dilakonkan oleh Baizura Kahar, isteri pertama Azrul, berdepan dengan kenyataan bahawa dirinya telah dimadukan.
Konflik mula memuncak apabila Maya mula menyedari perubahan dalam tingkah laku suaminya dan mengambil langkah untuk mengetahui perkara sebenar. Pelbagai petunjuk akhirnya membawa kepada terbongkarnya rahsia yang selama ini disembunyikan.
Penonton akan dibawa mengikuti perjalanan Azrul dalam menghadapi dilema untuk mempertahankan kedua dua hubungan perkahwinannya, selain persoalan sama ada impiannya untuk bergelar seorang bapa akan tercapai.
Menurut Zahiril Adzim, kisah berkaitan konflik rumah tangga dan kecurangan merupakan perkara yang dekat dengan realiti masyarakat. Namun, kekuatan sesebuah karya bukan hanya bergantung kepada isu yang diketengahkan, sebaliknya bagaimana cerita itu disampaikan melalui penceritaan dan persembahan yang berkualiti.
Isteri Ke-2 boleh ditonton secara eksklusif menerusi Tonton dengan langganan TontonUp serendah RM9.90. Langganan tersebut turut memberikan akses kepada pelbagai kandungan premium termasuk Tonton Originals, drama pilihan TV3, siri anime, drama Korea dan pelbagai rancangan hiburan lain.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai drama dan rancangan pilihan, ikuti Tonton menerusi Facebook, X, YouTube dan Instagram rasmi @tontonmy.






