Teguran ‘santai’ Faizal Tahir mudah dihadam

 

Menurut Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, lagu dan irama mempunyai kaitan yang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan kehidupan, yang tidak pernah tanpa cabaran. Apa yang difahamkan, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ia masih harus dilihat bagaimana keadaan ini akan dikendalikan.

Cuba mengadaptasi daripada apa yang terjadi dari segenap aspek kehidupan hari ini, penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir sekali lagi ‘bersuara’ menerusi mesej dan nasihat berguna dalam single terbaharu berjudul Santai yang diterbitkan oleh Faithful Music.

Mengingatkan kembali kepada lagu Ragaman yang sarat dengan ‘teguran’ dalam kehidupan berumah tangga antara suami isteri, penghasilan lagu Santai sebuah lagi karya Faizal Tahir bersama Ezra Kong yang pastinya mampu menjentik hati setiap pendengar.

Menurut Faizal, 44, atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, idea menghasilkan lagu itu hadir secara spontan.

Idea ini datang secara spontan bersama Ezra Kong sewaktu dia menyebut perkataan santai dalam satu sesi menulis lagu. Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhannya adalah berdasarkan sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam membuat atau mendapatkan sesuatu. Malah, sikap tergesa-gesa manusia ini sudah disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi lagu berkenaan, malah mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Kelebihan lagu Santai ini adalah dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam berbagai lapisan masyarakat.

Menurut Faizal, kebanyakan lagu yang dihasilkan sejak kebelakangan ini membawa mesej yang dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial.

Bagi Faizal, ini cara terbaik dalam memberi kesedaran dan nasihat buat diri sendiri seterusnya orang ramai.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Santai, Faizal kembali bekerjasama dengan Ezra Kong selepas kali terakhir melalui lagu Malaysia (2018) & Kamu (2019).

Bekerjasama dengan Ezra Kong adalah peluang yang memang sudah lama beliau tunggu memandangkan masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Dia tahu apa yang dia mahu dan apa yang perlu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyanyi.

Dalam masa sama, lagu Santai yang siap dirakam pada Mei lalu bukanlah kesinambungan daripada lagu Ragaman biarpun lirik berunsurkan nasihat.

 

Lagu Santai bukanlah satu kesinambungan kepada karya Ragaman. Mesej Ragaman lebih ‘direct’ dan ‘straightforward’ mengenai ragam kehidupan suami isteri. Sementara lirik lagu Santai lebih berkias dan boleh digunapakai dalam apa sahaja situasi kehidupan harian kita.

Sementara itu, Ezra yang turut bertindak selaku penerbit lagu Santai ini berkata, ia karya yang cukup dekat dalam kehidupan seharian.

Malah, Ezra melihat mesej yang cuba disampaikan dalam lagu Santai ini perlu dijadikan iktibar sekali gus mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

Lumrah kehidupan masa kini membuatkan kita menjadi semakin serakah dan terdesak untuk memperoleh kekayaan dunia dalam waktu yang paling singkat. Sebenarnya, wang ringgit, harta, pangkat, kereta mewah, berpoligami hanyalah selingan sementara daripada kesengsaraan dan realiti yang perlu dihadapi setiap insan.

 

Sebab itu dalam lagu ini, Faizal menyeru agar kita selalu santai dan tidak bertindak secara terburu-buru. Kuda yang tua memanglah tak laju seperti dulu, namun tetap ‘steady’ dan padu.

Lagu ini boleh didengari di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan  Joox manakala muzik video rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.

Pautan muzik video:

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *