Bersempena Ramadan dan Syawal tahun ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan inisiatif istimewa menerusi pelancaran tujuh lagu raya yang merangkumi pelbagai genre, penceritaan dan emosi. Dari rentak rancak dan moden sehingga balada yang meruntun jiwa, setiap karya membawa identiti tersendiri namun tetap bersatu di bawah semangat kebersamaan, selari dengan tagline Astro Salam Ramadan 2026, “Bila Bersama, Lagi Jadi”. Kesemua lagu ini dihimpunkan dalam sebuah EP khas, membentuk sebuah “universe” raya tersendiri yang unik dan saling berkait di bawah payung Rocketfuel Entertainment.


Lagu “Rindu Raya” oleh ALPHA, yang dilancarkan pada 21 Februari 2026, menampilkan sisi berbeza kumpulan tersebut. Bernuansa pop dengan rentak sederhana, lagu ini mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman, satu perasaan yang semakin kuat apabila tibanya Ramadan dan Syawal. ALPHA berkongsi bahawa mereka mahu menonjolkan sisi yang lebih tenang dan penuh perasaan, kerana rasa rindu pada keluarga adalah universal dan ramai dapat mengaitkan diri dengan lagu ini.

Wani Kayrie pula mempersembahkan “Kampung Kita”, kesinambungan kepada lagu viral terdahulu “Cak Cak Cekuk”. Lagu ini mengekalkan elemen keceriaan dan melodi yang mudah melekat di ingatan, menceritakan keterujaan pulang ke kampung untuk bertemu keluarga serta insan tersayang. Wani menyatakan, lagu ini fun, membuat pendengar terasa ingin menari, sambil membawa kisah manis tentang rindu.


Kolaborasi Hael Husaini dan ALPHA menerusi lagu “Raya Macam Raya” tampil sebagai lagu upbeat penuh warna M-Pop, mengangkat keterujaan membuat persiapan raya dan memastikan segala kelengkapan Syawal tersedia sempurna. Hael menyatakan, semangat sebenar Aidilfitri terasa apabila persiapan cukup dan kita bersama orang tersayang. Selain itu, Hael turut menghadiahkan single solo berjudul “Lagu Raya Untukmu” sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.


Sharul Kamal dan Mierul Aiman membawakan lagu “Duit Raya”, yang membawa mesej dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Dengan bait-bait pembuka “ada duit takda duit, raya tetap raya”, lagu ini mengingatkan bahawa Aidilfitri diraikan dengan keikhlasan dan kebersamaan, bukan semata-mata harta. Sharul menegaskan bahawa lagu ini menyampaikan peringatan ringan namun bermakna, sementara Mierul menambah bahawa elemen rap memberi sentuhan moden dan santai.
Dayang Nurfaizah pula menghadirkan balada melankolik berjudul “Senyum Gugur Di Hujung Doa”, hasil gubahan Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang menggambarkan kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi. Nyanyian Dayang yang penuh penghayatan menjadikan lagu ini salah satu karya paling menyentuh hati dalam koleksi raya tahun ini. Dayang berharap lagu ini menjadi teman dan penenang bagi mereka yang merindui insan tersayang.
Nadeera turut mencuri perhatian dengan lagu “Restu Raya”, menampilkan susunan melodi menarik dan cerita yang dekat dengan pengalaman ramai orang. Nadeera berharap lagu ini mudah dinyanyikan oleh semua lapisan umur, dan mampu menyatukan semua melalui semangat kebersamaan di Syawal.
Menariknya, setiap lagu raya yang dilancarkan memberi bayangan kepada karya seterusnya, membentuk naratif berangkai dalam “universe” kreatif Rocketfuel Entertainment. Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, menjelaskan bahawa setiap lagu membawa identiti jelas – ada yang ceria, reflektif, dan moden – menggambarkan realiti masyarakat yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi tetap bersatu apabila tibanya Syawal.