Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) akan menganjurkan Karnival Health Living SunMed 2026, sebuah acara komuniti berasaskan kesihatan, pada Ahad, 26 April 2026, dari jam 10 pagi hingga 4 petang bertempat di Lobi Menara D, SMC. Bertemakan “Kesihatan Lebih Baik. Kehidupan Lebih Bermakna” (Better Health. Better Life), karnival ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat, memperkasakan penjagaan kesihatan melalui langkah pencegahan, dan meningkatkan kesejahteraan komuniti. Ia juga menyediakan peluang kepada individu dan keluarga untuk mengambil langkah praktikal meningkatkan kesihatan secara menyeluruh dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.
Data terkini menunjukkan bahawa tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia memerlukan perhatian serius, terutamanya berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berpunca daripada faktor gaya hidup. Kadar obesiti kekal tinggi, dengan lebih 2.85 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 19 tahun dijangka mengalami berat badan berlebihan atau obes menjelang 2026, selain menjejaskan lebih 32.6% populasi dewasa. Peningkatan prevalens NCD seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, dan kanser juga menjadi kebimbangan utama di negara ini.

Sejajar dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada bulan April, karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan penjagaan kesihatan melalui pencegahan, pendidikan, dan pengamalan gaya hidup sihat. Tan Mei Shin, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC, berkata bahawa kepentingan pesakit dan komuniti adalah teras utama setiap usaha hospital. Beliau menambah bahawa melalui karnival tahunan ini, SMC berharap dapat memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengukuhkan imuniti, mengekalkan kecergasan fizikal, dan mengamalkan gaya hidup aktif, seterusnya menginspirasi komuniti untuk mengutamakan kesejahteraan diri bagi menjalani kehidupan lebih sihat dan bermakna.
Pengunjung karnival berpeluang mengikuti pelbagai saringan dan penilaian kesihatan yang dikendalikan oleh Pusat-Pusat Kecemerlangan SMC, termasuk Analisis Komposisi Badan, Ujian Glukosa Darah dan Kolesterol, Ujian Tekanan Darah Postural, Ujian Ketahanan Sit-to-Stand, dan banyak lagi. Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan informatif turut disediakan, seperti Cabaran Lightning Reflex, Cabaran Pickleball, Marketplace Hidup Sihat, reruai kesedaran kesihatan, pendengaran dan kanser, sesi kuiz, serta cabutan bertuah.
SMC baru-baru ini diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2026, menjadikannya tahun kedua berturut-turut menerima penghormatan tersebut. Hospital ini juga dinobatkan sebagai Hospital Terbaik (Hospital of the Year) buat tahun kelima berturut-turut, selain menerima anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik (Smart Hospital Initiative of the Year) di Healthcare Asia Awards 2026. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam memacu kecemerlangan klinikal serta memperkukuh reputasi global dalam keselamatan pesakit dan keberkesanan klinikal.
Untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival ini, sila layari: https://sunmedcarnival2026.sunwaymedical.com/