Pelakon terkenal Adam Corrie membawakan pengalaman peribadi dan jiwa seni dalam drama vertikal terbaharu berjudul Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa, yang akan ditayangkan secara eksklusif di TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie bermula 19 Februari 2026 pada jam 10.00 malam. Drama 15 episod ini mengangkat kisah dunia makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan fokus terhadap isu penerimaan saudara baharu, persepsi masyarakat, serta cabaran mempertahankan kejujuran dan integriti dalam perniagaan.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa mengisahkan perjalanan seorang lelaki mualaf bernama Ah Seng, lakonan Adam Corrie, yang memilih untuk membawa diri jauh daripada keluarganya bagi membina kehidupan baharu. Beliau membuka sebuah gerai Pan Mee sebagai punca rezeki, namun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan keluarga, persepsi masyarakat, serta konflik nilai dalam dunia perniagaan. Watak Ah Seng turut menghadapi tekanan daripada bapanya sendiri, yang dilakonkan oleh Kenji Sawahii, seorang figura yang memegang prinsip lama dan sukar menerima perubahan hidup anaknya. Konflik kekeluargaan ini menjadi teras emosi utama drama.
Drama ini turut diserikan dengan kehadiran Sheila Mambo sebagai Kak Wani, sahabat baik Ah Seng yang sentiasa menjadi penyokong setia dan pembakar semangat, manakala Nam Ron membawakan watak Pak Long Rahman, seorang figura berpengaruh yang banyak memberi pengajaran dan cabaran kehidupan kepada watak utama. Jesse Lim tampil sebagai Jason, watak yang mencetuskan konflik dalam dunia perniagaan, sementara Izuan Razali memegang peranan sebagai Chef Farid, mewarnai elemen persaingan dan profesionalisme dalam dunia kulinari. Turut mencuri perhatian ialah Wan Gegau, yang berperanan sebagai juri pertandingan masakan serta pengacara utama drama, membawa elemen santai dan humor tersendiri. Penampilan istimewa Adam Fateh Lee, anak kepada Adam Corrie, turut menambah dimensi peribadi dalam satu babak khas.

Antara elemen penting dalam drama ini ialah babak pertandingan masakan Halal Cookdown, yang menjadi simbol persaingan sihat dalam dunia kulinari serta menekankan kepentingan pematuhan halal dan etika penyediaan makanan. Babak ini menjadi titik penting kepada perkembangan konflik dan mesej utama drama.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa merupakan arahan pertama Adam Corrie dengan kerjasama pengarah bersama Ollyn Khadir. Idea asal dan penerbitan drama ini dicetuskan oleh Puan Fazi Fuad, membawa pengalaman sebenar dunia perniagaan dan masyarakat ke dalam naskhah. Walaupun diterbitkan untuk platform digital, drama ini menggunakan standard produksi setaraf drama televisyen, lengkap dengan peralatan profesional, tenaga produksi berpengalaman, elemen CGI, serta jurutera bunyi bagi memastikan mutu visual dan audio berada pada tahap terbaik. Produksi ini turut mendapat sokongan strategik daripada KopiHut, Aji-Ya, dan Sentai, sekali gus mengukuhkan kredibiliti kandungan.
Majlis pelancaran drama ini turut diserikan dengan pelancaran produk terbaharu KopiHut – Kopi 3 Dalam 1, yang kini boleh didapati di seluruh cawangan KopiHut di Malaysia. Produk ini diperkenalkan sebagai minuman berkualiti yang menepati citarasa pengguna dan selari dengan nilai kejujuran serta kualiti yang menjadi teras jenama.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa akan ditayangkan dalam format drama vertikal 15 episod, secara eksklusif di TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie mulai 19 Februari 2026 pada jam 10.00 malam. Majlis pelancaran drama telah diadakan pada 9 Februari 2026, bertempat di Level 17, Hextar Tower, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang.
Drama ini menampilkan barisan pelakon seperti Adam Corrie, Kenji Sawahii, Sheila Mambo, Nam Ron, Jesse Lim, Ammar Alfian, Wan Gegau, dan Izuan Razali, dengan kolaborasi strategik daripada KopiHut, Aji-Ya, dan Sentai.