Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2025 melabuhkan tirainya di Sabah hari ini melalui pelancaran rasmi di Imago Mall, Kota Kinabalu. Karnival selama tiga hari yang berlangsung dari 14 hingga 16 November 2025 ini menjadi penutup kepada kempen “Explore. Experience. Excite.”—satu inisiatif bersama Tourism Malaysia dan Star Media Group (SMG) yang bertujuan mempromosikan pelancongan domestik, budaya tempatan dan keusahawanan berasaskan warisan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang menyifatkan program ini sebagai platform yang menghidupkan pelancongan domestik sambil meraikan keunikan budaya serta warisan negara. Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran karnival ini menjadi pemangkin kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi negara. Dengan penyertaan 80 peserta pameran merangkumi agensi pelancongan, hotel, inap desa, pengusaha produk pelancongan dan kraf tempatan, edisi SKCCM Sabah tampil dengan pelbagai elemen menarik. Antara tarikan utama ialah persembahan kebudayaan, juadah warisan daripada pelbagai negeri, promosi pelancongan eksklusif, gerai kraftangan serta aktiviti interaktif bersama penggiat seni dan pencipta kandungan digital.
Menurut Encik Chan Seng Fatt, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, SKCCM telah membawa rakyat Malaysia mengembara merentasi destinasi unik dari Pahang hingga Sabah. Beliau menyifatkan kerjasama erat antara SMG dan Tourism Malaysia sebagai usaha yang berjaya menonjolkan keistimewaan negara melalui kepelbagaian budaya, kulinari dan hubungan komuniti yang kukuh.
Sejak bermula pada September, karnival ini telah menjelajah ke enam lokasi iaitu Pahang, Lembah Klang, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah, dengan lebih 200,000 pengunjung direkodkan di seluruh negara. Setiap lokasi menawarkan pengalaman tersendiri bagi menggalakkan rakyat menerokai keindahan Malaysia, menyokong perniagaan kecil dan memacu pertumbuhan pelancongan domestik.
Majlis kali ini turut menyaksikan pelancaran kempen Fly Borneo Vol. 3: Surreal Experiences, hasil kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Malaysia Airlines dan Firefly. Inisiatif ini melibatkan 13 ejen pelancongan strategik bagi mempromosikan 26 pakej eksklusif merangkumi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ia menampilkan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti, budaya, alam semula jadi dan percutian pulau.
Sebagai sokongan, Malaysia Airlines dan Firefly menawarkan diskaun tambang penerbangan antara 5% hingga 10% untuk laluan ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, tertakluk kepada pembelian pakej penginapan minimum dua malam. Pakej Fly Borneo boleh didapatkan mulai 15 November 2025 hingga 31 Disember 2026.
Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia – Sabah dibuka secara percuma kepada orang ramai, menawarkan tiga hari penuh dengan persembahan menarik, sajian tempatan dan peluang mendapatkan tawaran pelancongan istimewa. Untuk maklumat lanjut tentang program ini dan acara seterusnya, layari laman sesawang The Star, mStar, Majoriti atau Suria FM.