Prudential BSN Takaful Raih Impak Besar: Perlindungan Takaful Percuma Untuk Lebih 1 Juta Rakyat

Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), pengendali takaful keluarga terkemuka di Malaysia, menutup tahun ini dengan komitmen berterusan terhadap usaha kelestarian sosial yang bermakna. Selari dengan misi sosialnya, PruBSN terus berusaha menyediakan perlindungan kesihatan dan kewangan yang mudah diakses oleh komuniti, khususnya golongan yang memerlukan.

Dengan hampir dua dekad pengalaman dalam industri takaful, PruBSN secara konsisten mengintegrasikan nilai kelestarian ke dalam teras perniagaannya. Setiap pelaksanaan operasi serta penawaran produk dirangka selaras dengan objektif Syariah, bagi memastikan usaha yang dilaksanakan benar-benar menyumbang kepada pemerkasaan komuniti secara menyeluruh dan mampan.

Walaupun kadar penembusan takaful di Malaysia telah mencecah 20 peratus, PruBSN menyedari bahawa cabaran akses kepada penjagaan kesihatan dan keselamatan kewangan masih wujud. Data menunjukkan bahawa 12.9 peratus rakyat Malaysia terpaksa mengabaikan rawatan perubatan akibat kekangan kewangan, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk penyelesaian perlindungan yang lebih inklusif.

Sehubungan itu, PruBSN memperkukuh usaha menyumbang semula kepada masyarakat bukan sekadar sebagai tanggungjawab korporat, tetapi sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya. Tumpuan diberikan kepada penyediaan penyelesaian takaful mampan yang memenuhi keperluan sebenar komuniti kurang bernasib baik melalui pelbagai kerjasama strategik.

Antara inisiatif utama ialah kerjasama bersama Bank Muamalat dan Bank Simpanan Nasional dalam pelaksanaan Program Perlindungan iTEKAD. Dilancarkan sempena Global Islamic Finance Forum pada Oktober 2025, program ini menyediakan perlindungan kepada usahawan mikro, penghantar barang serta peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat. Inisiatif ini bertujuan membantu komuniti terdedah mengurus risiko dengan lebih baik dan mengukuhkan daya tahan kewangan mereka, dengan sasaran memberi manfaat kepada 8,000 penerima.

Selain itu, inisiatif Amanah Medicare yang dilaksanakan bersama Amanah Saham Nasional Berhad turut menyediakan perlindungan percuma bagi perbelanjaan perubatan pesakit luar dan rawatan di klinik pengamal perubatan am tanpa keperluan kemasukan ke hospital. Pada peringkat awal, seramai 661 penerima daripada golongan asnaf menerima manfaat ini, membolehkan mereka mendapatkan rawatan dan konsultasi secara tanpa tunai di panel penyedia yang terlibat.

Dalam masa yang sama, PruBSN meneruskan pelaksanaan PruBSN Mikrotakaful Jariyah serta melancarkan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat 3.0 (SIKR 3.0) bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sejak diperkenalkan, inisiatif ini telah menyediakan perlindungan takaful kepada lebih satu juta isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih, sekali gus membantu memastikan keselamatan kewangan keluarga yang paling memerlukan di negara ini.

Tahun ini turut menandakan pencapaian penting apabila PruBSN meraikan ulang tahun ke-10 PruBSN Prihatin, cabang kebajikan syarikat yang komited memacu inisiatif komuniti dalam bidang pendidikan dan kemahiran hidup, kesihatan dan kesejahteraan, serta bantuan bencana di seluruh Malaysia. Sejak penubuhannya pada 2015, PruBSN Prihatin telah memberi impak positif kepada lebih 250,000 individu terdedah menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program literasi kewangan, pemeriksaan mata dan sumbangan cermin mata percuma, serta tajaan kaki prostetik.

Mengulas mengenai inisiatif-inisiatif ini, Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan PruBSN, Kelvin Wong, berkata bahawa tahun ini syarikat memberi tumpuan kepada pembentukan kerjasama bermakna yang mencerminkan komitmen terhadap visi kelestarian sosial. Usaha bersama ini, katanya, melambangkan dedikasi PruBSN dalam menyokong golongan yang memerlukan, khususnya dalam menangani isu kritikal seperti kemampuan mendapatkan penjagaan kesihatan, selaras dengan misi keterangkuman kewangan dan pembangunan sosial.

Menjelang penutup tahun 2025, PruBSN kekal teguh dengan aspirasi untuk menjadi rakan dan pelindung yang paling dipercayai, selaras dengan tujuannya iaitu Untuk Setiap Kehidupan, Bagi Setiap Masa Depan. Syarikat berharap untuk mengekalkan momentum ini dengan memupuk lebih banyak kerjasama strategik demi mewujudkan impak sosial yang berpanjangan pada masa hadapan.