Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel Membuka Luka Keadilan dan Suara Rakyat

Indonesia tidak pernah melupakan kes seorang anak muda, David Ozora, yang dibelasah dengan begitu kejam sehingga mengakibatkan dia koma dalam tempoh yang lama. Insiden yang berlaku pada tahun 2023 itu bukan sekadar satu tragedi peribadi, sebaliknya menjadi simbol luka mendalam yang mencetuskan kemarahan awam serta membuka perbincangan besar mengenai keadilan, penyalahgunaan kuasa dan budaya berdiam diri terhadap keganasan.

Berpaksikan kisah benar tersebut, sebuah filem berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan dengan mengangkat tragedi ini dalam konteks yang lebih luas. Filem ini bukan sahaja menelusuri insiden keganasan itu sendiri, tetapi turut menyentuh isu ketidakseimbangan sistem perundangan, suara rakyat, serta perjalanan psikologi dan spiritual dari sudut pandang keluarga mangsa.

Filem ini diarahkan oleh Umbara Brothers, iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, dan diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films serta Dbay Film Factory. Projek ini turut menandakan kerjasama semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama tidak mengarahkan filem bersama.

Menurut Anggy Umbara, idea awal pembikinan filem ini dicetuskan oleh Bounty, dan sejak peringkat perancangan lagi, mereka sudah jelas dengan arah penceritaan serta sepakat untuk mengarahkannya bersama. Beliau menjelaskan bahawa kisah David Ozora benar-benar menggoncang Indonesia, namun masih ramai yang tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang menyaksikan anaknya menjadi mangsa penganiayaan oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang hidup anaknya ketika itu hanya dua peratus.

Filem ini mengisahkan perjuangan Jonathan Latumahina apabila anaknya, David Ozora, koma akibat penganiayaan kejam seorang lelaki yang merupakan anak kepada pegawai kanan kerajaan. Jonathan berdepan sistem perundangan yang dilihat berat sebelah, sementara pelaku menerima layanan istimewa hasil pengaruh dan kuasa bapanya, sekali gus memperlihatkan jurang keadilan yang wujud dalam realiti masyarakat.

Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus, filem ini dijadualkan untuk tayangan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 22 Januari 2026.

Anggy Umbara menjelaskan bahawa filem arahannya itu bukan sekadar penceritaan tentang jenayah, sebaliknya sebuah interpretasi mendalam yang memaparkan kesan psikologi dan emosi akibat perundungan serta keganasan terhadap mangsa dan insan di sekeliling mereka. Naratifnya turut menelusuri kekuatan dalaman dan perjalanan spiritual seorang bapa ketika berhadapan ketidakadilan sewaktu anaknya koma selama puluhan hari, selain menekankan peranan sokongan masyarakat awam sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

Selain mengetengahkan isu keadilan dan sistem perundangan, filem ini membawa penonton menyelami emosi watak Jonathan yang dilakonkan oleh Chicco Jerikho, yang mengakui peranan tersebut antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya. Menurut Chicco, walaupun bukan sebuah filem aksi, watak Jonathan sarat dengan emosi dan memerlukan tenaga dalaman yang besar, apatah lagi kedekatannya dengan kes sebenar menjadikan tanggungjawab tersebut lebih berat. Beliau menegaskan bahawa emosi itulah yang memaksanya untuk mengawal perasaan agar kekal setia kepada realiti watak dan peristiwa sebenar.

Sebagai sebuah karya sinematik yang berakar daripada kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bukan sahaja menjadi peringatan terhadap kes perundungan yang menggoncang negara, malah menyoroti kekuatan solidariti masyarakat dalam menentang ketidakadilan. Filem ini turut mengajak orang ramai memanfaatkan ruang awam dan digital sebagai medium untuk bersuara apabila berdepan penyalahgunaan kuasa.

Filem ini mengisahkan Jonathan Latumahina yang berjuang menyelamatkan nyawa anaknya, David Ozora, selepas anaknya dianiaya oleh anak seorang Pegawai Tinggi Negara sehingga mengakibatkan dia koma. Keadaan David menjadi tular dan mencetuskan gelombang solidariti apabila masyarakat Indonesia daripada pelbagai latar belakang agama dan kepercayaan bersatu mengadakan doa bersama, dengan harapan akan berlaku keajaiban demi kesembuhannya. Dibantu oleh dua sahabatnya, Melissa dan Rustam, Jonathan terus memperjuangkan keadilan, sedangkan Dennis, pelaku penganiayaan, terus menerima bantuan serta kelonggaran daripada sistem perundangan yang dipersoalkan integritinya, hasil pengaruh dan kedudukan bapanya yang mengaku sebagai penguasa Jakarta Selatan.