Apabila sebuah perkahwinan yang dibina atas kepura-puraan mula berubah menjadi ikatan yang menyembuhkan luka lama, persoalan sama ada cinta mampu bertahan dalam dunia penuh rahsia dan pengkhianatan mula timbul. Nur Untuk Ariff bakal menemui penonton bermula 19 Januari dan disiarkan setiap hari pada jam 8.00 malam secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.
Dibintangi oleh Aprena Manrose dan Nazim Othman, drama ini mengetengahkan kisah cinta yang teruji oleh trauma silam, perebutan kuasa serta kebenaran yang lama terpendam. Dengan jalan cerita yang sarat konflik keluarga dan permainan emosi, Nur Untuk Ariff menjanjikan sebuah naskhah dramatik yang menyentuh perasaan serta mendebarkan.
Siri ini mengisahkan Tajul Ariff, lakonan Nazim Othman, pewaris Empayar Holding yang terpaksa membina imej sebagai lelaki sempurna demi menjaga reputasi keluarga. Di sebalik penampilan itu, Ariff menyimpan trauma mendalam akibat kemalangan tragis yang meragut nyawa ibu bapa dan adik perempuannya. Demi menjaga maruah keluarga serta memenuhi permintaan neneknya, Ariff bersetuju mengahwini Nur, lakonan Aprena Manrose, menerusi sebuah perkahwinan kontrak bagi membersihkan namanya.
Pada awal perkahwinan, Ariff enggan membuka hati dan menjarakkan perasaan. Namun, kehadiran Nur perlahan-lahan membawa ketenangan dalam hidupnya yang selama ini dihantui mimpi ngeri dan ketakutan. Tanpa disedari, hubungan yang bermula sebagai lakonan itu mula berubah menjadi perasaan tulus, meskipun kedua-duanya cuba menafikan kehadiran cinta.
Dalam masa yang sama, konflik keluarga semakin memuncak apabila ibu saudara Ariff, Razita, lakonan Aleeza Kasim, merancang untuk merampas jawatan CEO Empayar Holding demi anak lelakinya, Tajul Haiqal. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Haiqal sebenarnya telah lama mengenali dan mencintai Nur. Situasi bertambah tegang dengan kemunculan semula Laila, cinta pertama Ariff, yang mengakibatkan Nur menjadi mangsa dera mental dan fizikal serta permainan emosi yang kejam.
Di sebalik kelembutan dan ketabahannya, Nur menyimpan satu misi besar iaitu mencari bukti yang mengaitkan Razita dengan kematian ibu bapa Ariff. Pendedahan demi pendedahan membawa kepada rahsia gelap keluarga, termasuk kebenaran di sebalik kemalangan tragis tersebut serta kewujudan Ainun, adik Ariff yang selama ini disangka telah meninggal dunia.
Kemuncak drama menyaksikan Ariff berhadapan dengan kebenaran pahit yang selama ini menghantuinya. Namun, cinta dan keikhlasan Nur menjadi kekuatan buatnya untuk bangkit, melawan trauma serta menuntut keadilan. Kuasa cinta akhirnya menyembuhkan luka lama dan membuktikan bahawa keikhlasan mampu mengubah takdir.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri vertikal Nur Untuk Ariff bermula 19 Januari, disiarkan setiap hari pada jam 8.00 malam secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Ikuti perjalanan penuh emosi yang mengangkat tema perkahwinan kontrak, rahsia keluarga dan cinta yang akhirnya menemukan cahaya.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.