Penyanyi dan penulis lagu popular Nuha Bahrin, yang dikenali menerusi lagu hit “Casablanca”, kembali dengan single terbaharu berjudul “Malam – Malam”, sebuah kolaborasi istimewa bersama Ezra Kong di bawah projek kreatifnya, mimpi.. Ezra Kong merupakan antara komposer paling berpengaruh di Malaysia ketika ini, terkenal dengan sentuhan “Midas” kerana hampir setiap lagu gubahannya menjadi hit besar serta sering meraih anugerah utama. Menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu, “Malam – Malam” membawa pendengar ke dalam suasana yang tenang namun penuh emosi. Lagu ini mengisahkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan memori sederhana tetapi bermakna tentang dua insan yang pernah berkongsi waktu bersama di bawah cahaya bulan, yang kini hanya tinggal kenangan. Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang, sekali gus menggambarkan kontras antara kebahagiaan kebersamaan dan kekosongan akibat jarak sehingga menjadikannya dekat dengan jiwa pendengar.
Single ini turut menandakan fasa baharu buat Ezra Kong melalui projek mimpi., sebuah ruang kreatif untuk beliau bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur. Menurut Ezra, mimpi. adalah projek baharu yang diwujudkan sebagai platform untuk semua penulisannya ke hadapan, di samping membuka ruang kolaborasi bersama artis, label dan A&R bagi menyampaikan karya yang lebih dekat dengan jiwanya. Melalui projek seperti “Malam – Malam”, beliau turut membawa pendekatan berbeza dari segi bunyi, susunan dan lirik dengan mencari titik temu antara citarasanya dan identiti artis yang terlibat.
Sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata apabila beliau mendengar pengalaman rakan-rakan yang bertugas sebagai polis dan bekerja ketika orang lain menyambut hari raya. Perasaan rindu itu kemudian diolah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menanti kepulangan insan tersayang dari tugas, dan apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, beliau merasakan karya tersebut telah menemukan pemilik yang tepat.

Bagi Nuha, “Malam – Malam” membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri. Beliau mengakui bahawa lagu ini mengingatkannya kepada versi dirinya yang lama, apabila waktu malam sering membuatkan dirinya berfikir berlebihan serta mengenang kesilapan lalu, di samping merindui diri yang dahulu yang lebih yakin dan bebas. Kadangkala, katanya, seseorang boleh terlupa bagaimana untuk tidak terlalu mempedulikan pandangan orang lain, dan perasaan itulah yang amat dirinduinya.
Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya selari dengan nuansa muzik yang unik. Beliau cuba menzahirkan rasa rindu itu secara lebih mentah dan jujur, disertai sedikit rasa persoalan seperti tertanya-tanya mengapa seseorang tiba-tiba menghilang. Justeru, dari segi penyampaian, beliau menyeimbangkan kelembutan dengan emosi kerinduan agar pendengar benar-benar dapat merasai kekosongan yang digambarkan.
Melengkapkan naratif lagu ini, muzik video “Malam – Malam” mengetengahkan konsep visual puitis dan penuh simbolik dengan kisah seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang. Ia menggambarkan seolah-olah dua dunia selari wujud dalam ruang yang sama, di mana watak lelaki hadir dalam setiap momen—hampir disentuh dan hampir bersama, namun tidak pernah benar-benar wujud. Seiring perkembangan cerita, penonton akhirnya menyedari bahawa kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan rasa rindu yang belum terlerai, sekali gus menguatkan tema kehilangan dan kesunyian yang menjadi inti pati lagu ini.

Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha, yang kembali bekerjasama dengan Ezra Kong bersama penulis Sufairah Mohd. Beliau menyifatkan proses tersebut sebagai peluang untuk meneroka perkara baharu serta belajar keluar daripada zon selesa. Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Melayu dalam lagu ini dianggapnya sebagai sesuatu yang berani dan memberi inspirasi, malah beliau berasa berbesar hati dapat menjadi suara kepada karya tersebut.
Dengan gabungan bunyi yang unik serta emosi yang mendalam, “Malam – Malam” diharapkan dapat menjadi teman setia pendengar, khususnya pada waktu sunyi di malam hari. Nuha berharap pendengar akan merasakan bahawa mereka tidak keseorangan, kerana rasa rindu—sama ada terhadap seseorang atau diri sendiri—adalah perasaan yang sangat manusiawi. Baginya, jika seseorang itu dirindui, ia bermakna individu tersebut pernah membawa makna besar dalam kehidupan, dan cinta itu tidak pernah sia-sia. “Malam – Malam” boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.