Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi single hit “Bukan Lagi Kita” yang mencatat lebih 100 juta penstriman di semua platform digital serta mendominasi carta muzik tempatan, penyanyi bersuara emas Nadeera kembali dengan karya baharu yang dijangka sekali lagi memberi kesan mendalam kepada para pendengar.
Berjudul “Cuba Jadi Aku”, single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment ini hadir sebagai sebuah karya yang sarat dengan emosi, kejujuran dan keberanian dalam meluahkan rasa yang sering terpendam. Lagu ini menampilkan sisi Nadeera yang lebih matang dan berani dalam penceritaan, dengan tema tentang luka yang ditinggalkan oleh seseorang yang pernah dicintai sepenuh hati.
Dengan gabungan melodi pop balada kontemporari yang disuntik elemen rock moden serta susunan muzik yang dramatik, “Cuba Jadi Aku” membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seorang wanita yang terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan insan yang paling dipercayainya.
Di sebalik melodi yang menyentuh jiwa, lagu ini turut membawa mesej tentang kekecewaan, pengkhianatan dan kesakitan yang sukar difahami oleh mereka yang menjadi puncanya. Ia mengisahkan seorang insan yang telah memberikan sepenuh hati dan kepercayaan kepada seseorang, namun akhirnya terpaksa menanggung luka yang mendalam. Harapan yang tinggal hanyalah agar insan tersebut dapat memahami dan merasai sendiri kesakitan yang dialami.
Mesej ini diterjemahkan menerusi korus yang menjadi nadi utama lagu, “Cuba kau, cuba jadi aku. Sedarkan kau yang mula semua dahulu?”, yang menggambarkan persoalan tentang sama ada seseorang benar-benar memahami kesan daripada perbuatannya terhadap orang lain.
Di sebalik penghasilan lagu ini, nama Hael Husaini dan Iqie Hugh sekali lagi membuktikan sentuhan magis mereka dalam mencipta karya yang kuat dari segi emosi dan melodi. Namun, apa yang menjadikan lagu ini lebih istimewa adalah penglibatan Nadeera sendiri sebagai salah seorang komposer, yang memberikan sentuhan lebih peribadi dan variasi terhadap karya tersebut.
Menurut Nadeera, “Cuba Jadi Aku” merupakan antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mesej yang dibawakan sangat jujur dan dekat dengan pengalaman ramai. Katanya, apabila pertama kali mendengar lagu ini, beliau terus merasakan kekuatan emosinya dan percaya ramai yang pernah melalui situasi sama, iaitu terluka tetapi sukar meluahkan perasaan.
Beliau menambah bahawa kadang-kadang seseorang hanya berharap agar individu yang menyakiti mereka benar-benar memahami apa yang telah dilalui, dan itulah intipati utama lagu ini. Nadeera turut meluahkan keterujaan untuk berkongsi karya ini dengan para peminat dan berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama.
Melengkapkan penceritaan lagu ini, video muzik rasmi “Cuba Jadi Aku” menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana sebagai watak utama dalam sebuah kisah cinta yang diuji kehadiran orang ketiga. Watak yang dibawakan oleh Ariana menjadi pencetus konflik dalam hubungan tersebut, sekali gus menghidupkan emosi dan mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ini.
Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam berkata pihaknya amat berbangga dengan perkembangan seni Nadeera yang terus menunjukkan peningkatan dari satu karya ke satu karya yang lain. Beliau menyifatkan Nadeera sebagai artis yang mampu menyampaikan emosi dengan jujur dan berkesan melalui nyanyian.
Menurut beliau lagi, kejayaan “Bukan Lagi Kita” membuktikan kekuatan Nadeera sebagai seorang penghibur, dan “Cuba Jadi Aku” memperlihatkan sisi yang lebih matang dari segi vokal dan penceritaan. Pihak Rocketfuel turut percaya lagu ini mempunyai semua elemen untuk menjadi karya yang dekat di hati masyarakat serta meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina oleh Nadeera.










