KUALA LUMPUR — Penantian hampir satu dekad peminat seni tanah air untuk menyaksikan buah tangan terbaharu daripada Ratu Rock negara, Ella, bakal terjawab secara eksklusif pada malam konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 5 Disember 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil. Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Ella menerusi sesi siaran langsung di aplikasi TikTok baru-baru ini ketika berkongsi perkembangan persiapan konsert bersama para pengikut dan penggemarnya. Lebih istimewa, karya baharu yang bakal dirakam tersebut merupakan hasil sentuhan komposer tersohor Saari Amri bersama bait lirik tulisan Azam Dungun sekali gus mengimbau kembali era kegemilangan kolaborasi ikonik mereka dalam industri muzik tempatan.
Sebagai tanda penghargaan tertinggi buat penyokong setianya, Ella memilih pentas Sidang Penutup untuk mempersembahkan single baharu berkenaan buat julung kalinya secara langsung diiringi barisan pemuzik profesional yang diketuai oleh Datuk Acis. Langkah ini memberikan keistimewaan kepada penonton yang hadir di Unifi Arena untuk menjadi kelompok terawal menghayati karya terkini tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi. Selain lagu baharu berkenaan, Ella turut menyenaraikan beberapa karya yang jarang dipersembahkan secara langsung seperti Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna, serta Puteri Kota bagi memberikan pengalaman muzikal yang luar biasa.
Kemeriahan malam bersejarah anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen ini turut diserikan dengan penampilan artis jemputan berprofil tinggi termasuk Yuna, Datuk Ziana Zain, dan Shima. Tiket persembahan masih boleh didapati menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com atau dengan menghubungi talian +6012-2655783 untuk maklumat lanjut.












