Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd mengumumkan pengukuhan operasinya sebagai pengendali umrah tempatan berskala nasional, dengan sasaran membawa seramai 5,000 jemaah menjelang awal 2026, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40. Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid, berkata langkah ini mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah ke Tanah Suci secara selamat, teratur, dan berintegriti, sekaligus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pengendali umrah tempatan yang berlesen.
“Mubasyyir ditubuhkan pada 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam tempoh singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi yang kami amalkan,” katanya pada sidang media hari ini. Turut hadir ialah Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh, yang menyatakan bahawa setakat ini syarikat mengendalikan sehingga 28 penerbangan semusim, bersamaan purata tiga penerbangan sebulan, sekali gus meletakkan Mubasyyir antara pengendali umrah tempatan yang mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh singkat.

Pengukuhan operasi ini juga menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang 2027. “Kami melihat penglibatan dalam pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab kami dalam industri ibadah. Justeru, penekanan kini diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, pematuhan peraturan, dan kestabilan operasi,” jelas beliau. Dalam masa terdekat, lebih kurang 30 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah Syawal sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat.
Menyentuh situasi semasa industri, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata sektor umrah kini menghadapi beberapa cabaran utama, termasuk kewujudan ejen tidak berlesen, perubahan dasar visa Arab Saudi, persaingan harga yang tidak sihat, serta peningkatan kos operasi yang berpotensi menjejaskan kepentingan jemaah jika tidak dikawal dengan baik. “Isu penipuan pakej umrah juga semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada imej industri secara keseluruhan. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi pengendali sah dan berlesen,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada sebelum membuat sebarang tempahan umrah, antaranya dengan memastikan agensi mempunyai lesen MOTAC yang sah, tidak terpengaruh dengan pakej ditawarkan pada harga terlalu murah, menyemak rekod penerbangan yang jelas, serta mengelakkan bayaran dibuat ke akaun peribadi. Pemilihan pengendali yang mengamalkan ketepatan jadual penerbangan dan pengurusan yang telus adalah penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah.
Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh melalui laman sesawang www.mubasyyirtravel.com.my.
20 Januari 2026