Mediwira Lancar Penjenamaan Baharu, Sasar 100 Cawangan Menjelang 2030

Kumpulan Mediwira, yang sebelum ini dikenali sebagai i-Sihat Group, secara rasmi melancarkan identiti jenama baharunya menerusi pembukaan sebuah klinik perubatan baharu di Johor. Selain itu, kumpulan penjagaan kesihatan berkenaan turut mengumumkan pusat rawatan medispa baharu yang dijadual mula beroperasi bulan hadapan, sekali gus menandakan langkah strategik dalam usaha memperkukuhkan rangkaian perkhidmatan kesihatannya di Malaysia.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Mediwira kini memiliki 21 klinik dan pusat rawatan di seluruh negara yang merangkumi klinik perubatan, klinik pergigian serta pusat rawatan medispa. Kumpulan tersebut turut menyasarkan sekurang-kurangnya 25 cawangan menjelang penghujung tahun ini, iaitu peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun 2025. Lebih menarik, Mediwira turut meletakkan sasaran jangka panjang untuk mencapai 100 cawangan menjelang tahun 2030.

Pelan pengembangan ini dilihat seiring dengan peningkatan permintaan sektor penjagaan kesihatan negara yang berkembang pesat. Faktor seperti populasi masyarakat yang semakin meningkat usia, pertambahan kes penyakit kronik tidak berjangkit (NCD) serta perkembangan sektor pelancongan perubatan menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan industri tersebut. Malah, sektor perubatan Malaysia dijangka mencapai nilai sehingga USD30 bilion menjelang tahun 2027.

Pengumuman tersebut dibuat sempena acara pelancaran rasmi jenama Kumpulan Mediwira di Johor yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan terhadap pembangunan sektor penjagaan kesihatan swasta yang semakin memainkan peranan penting dalam landskap kesihatan negara.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Mediwira dan menyatakan bahawa sektor klinik swasta kini semakin penting dalam merapatkan jurang antara sistem kesihatan awam dan perkhidmatan pakar. Beliau turut menekankan bahawa kesihatan tidak mengenal batas kaum, agama atau latar belakang, dan setiap individu yang memerlukan rawatan harus diberi perhatian sewajarnya.

Mediwira diasaskan pada tahun 2012 sebagai i-Sihat oleh empat rakan kongsi utama iaitu Dr Nandagobala, Dr Ratna, Dr Mok Chi Chien dan Dr Lavan. Sejak penubuhannya, kumpulan ini terus komited dalam menyediakan penyelesaian klinikal menyeluruh bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin peka terhadap kesihatan.

Menurut Dr Nanda, nama Mediwira dipilih bagi mencerminkan semangat menjadi “wira penjagaan kesihatan” yang melambangkan komitmen terhadap penjagaan berkualiti dan perkhidmatan terbaik. Beliau berkata sepanjang 14 tahun operasi, kumpulan itu telah menerima lebih setengah juta pesakit, yang menurutnya bukan sekadar angka perniagaan tetapi simbol kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Dalam majlis sama, Mediwira turut melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dikenali sebagai Food Aid. Program berteraskan komuniti itu bertujuan membantu keluarga memerlukan melalui sumbangan makanan dan barangan keperluan asas kepada sekurang-kurangnya 10 keluarga setiap bulan.

Bagi pelaksanaan pertama inisiatif tersebut, sebanyak 15 keluarga telah menerima sumbangan barangan makanan bernilai RM120 setiap satu. Langkah ini memperlihatkan komitmen Mediwira bukan sahaja terhadap aspek rawatan kesihatan, malah kebajikan masyarakat setempat.

Ketika ini, Mediwira memiliki 12 klinik pergigian, tujuh klinik perubatan dan dua pusat medispa yang beroperasi di beberapa lokasi utama termasuk Lembah Klang, Johor dan Sabah. Mediwira Medical menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan umum, pediatrik, kesihatan wanita, vaksinasi, pengurusan penyakit kronik dan bakal memperkenalkan integrasi psikologi klinikal.

Pada masa sama, Mediwira Dental menawarkan kepakaran dalam pergigian keluarga, rawatan ortodontik termasuk braces dan aligner jelas, pergigian estetik, implan pergigian serta pergigian berfungsi. Sementara itu, Mediwira Medispa pula menyediakan rawatan estetik gred perubatan seperti High Intensity Focused Ultrasound (HIFU), facial premium dan rawatan kontur badan di bawah pengawasan doktor dengan harga berpatutan.

Maklumat lanjut mengenai Mediwira boleh didapati menerusi laman rasmi Mediwira. Selain itu, kumpulan tersebut turut membuka ruang kerjasama strategik dan kolaborasi kepada pihak yang berminat.