Malam Laguan Puisi: Gabungan Irama dan Prosa Menghiasi Panggung Eksperimen ASWARA

Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa akan diadakan pada Sabtu, 8 Februari 2025, di Panggung Eksperimen, ASWARA pada pukul 9 malam. Persembahan istimewa ini akan menampilkan penyanyi-penyanyi popular tanah air seperti Aqasha, Azizul Haqim, Ayu Damit, dan Leaism, yang akan menghidupkan karya-karya puisi daripada sasterawan negara seperti Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Profesor Emeritus Muhamad Haji Salleh, Datuk Rahman Shaari, Datuk Baha Zain, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Sebanyak tujuh lagu baru yang dicipta khusus untuk showcase ini akan dipersembahkan, termasuk lagu-lagu puisi yang pernah popular seperti ‘Tetamu Senja’ dari puisi Datuk Seri A. Samad Said yang dinyanyikan oleh Kumpulan Koprasata, ‘Jentayu’ nyanyian Datuk Nora dan Dato’ Sheila Majid daripada puisi Dato’ Usman Awang, serta ‘Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang’ oleh Kumpulan Harmoni yang berasal dari puisi Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Shamsul Cairel Abdul Karim, Pengarah Projek dan Pengarah Muzik, berkongsi bahawa showcase ini menggabungkan elemen tradisional dan moden. Persembahan akan menampilkan nyanyian, muzik, deklamasi puisi, dan penceritaan melalui layar LED. Bunyi seruling dan erhu akan memberi sentuhan tradisional, sementara elemen-elemen moden seperti keyboards dan synthesizers akan memberi nafas baru kepada lagu-lagu puisi ini.

Anjuran oleh FB Media Ventures, acara ini mendapat sokongan dana daripada program ArtsFAS, Yayasan Hasanah dan kerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL), serta Silent Set Entertainment.

Tiket untuk acara ini dijual pada harga RM 80 untuk penonton biasa dan RM 30 untuk pelajar. Pembelian tiket boleh dilakukan melalui imbasan kod QR di pautan berikut: https://malamlaguanpuisi.mystrikingly.com/. Jangan lepaskan peluang untuk merasai keindahan seni melalui bunyi, kata-kata, dan muzik yang memukau!