Langkah Global UPSI: Meterai MoA Bersama Korea bagi Transformasi Digital Pendidikan

Dr. Suriani bersama Mohd Musyaffa’ (kiri), Dr. Kyunghyun (tiga dari kanan) dan wakil Appmedia Inc. (kanan) menunjukkan dokumen MoA yang telah ditandatangani pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan negara menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) strategik bersama Appbooks Sdn. Bhd., Appmedia Inc. dari Korea Selatan, serta Sahmyook University.

Kolaborasi antarabangsa ini memfokuskan kepada pembangunan dan penambahbaikan Interactive E-Module Bahasa Melayu, sebuah inisiatif yang direka khusus bagi menyokong murid Tahun 4 selaras dengan Pendekatan Matriks Pembelajaran yang menekankan pembelajaran holistik dan berasaskan kompetensi.

Dr. Suriani (kanan) ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum
Perjanjian (MoA) antara UPSI dengan Appbooks Sdn. Bhd., Appmedia Inc. dan Sahmyook
University di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan global bersama rakan industri dan institusi akademik.

“Kerjasama ini bukan sekadar pembangunan kandungan, malah merupakan satu usaha ilmiah bagi menilai serta meningkatkan keberkesanan teknologi pendidikan digital agar benar-benar memberi impak kepada proses pembelajaran,” katanya ketika berucap di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, kelmarin.

Dr. Suriani (empat dari kanan, bawah) bergambar kenangan bersama Dr.
Kyunghyun (tengah, bawah) dan barisan pengurusan UPSI di Scholar’s Suites, Kampus
Sultan Azlan Shah.

Beliau menambah, inisiatif ini berpotensi diperluas ke peringkat nasional serta menjadi rujukan antarabangsa, sekali gus memperkasakan peranan Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NiCE) UPSI sebagai peneraju inovasi digital.

“Apabila universiti dan industri saling menyumbang, kita dapat mewujudkan ekosistem penyelidikan yang lebih bertanggungjawab serta memastikan kualiti terbaik dicapai,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Appbooks Sdn. Bhd., Mohd Musyaffa’ Mohd Fadzin menegaskan bahawa literasi awal adalah asas perjalanan pendidikan pelajar. Melalui kajian bertajuk “Empowering Early Literacy through Digital Pedagogy”, tumpuan diberikan kepada pendekatan yang interaktif bagi membina minat dan keyakinan pelajar sejak awal.

Penglibatan Sahmyook University dan Appmedia Inc. dari Korea Selatan turut memainkan peranan kritikal dalam memberikan perspektif global, kepakaran teknologi, serta penandaarasan antarabangsa terhadap modul yang dibangunkan.

Naib Presiden Sahmyook University, Prof. Dr. Kyunghyun Suh, menyifatkan kolaborasi ini sebagai platform penting dalam menghubungkan kepakaran antarabangsa bagi membangunkan model pendidikan berimpak tinggi di peringkat global.