Lagu Raya Terbaharu Farahdhiya “Eh Ah! Raya” Kini Menyemarakkan Syawal

Penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya, kembali menyemarakkan sambutan Syawal tahun ini dengan pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Eh Ah! Raya”, sebuah lagu ceria dan rancak yang menjanjikan kemeriahan suasana lebaran bersama keluarga dan insan tersayang. Menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden, lagu ini hadir dengan susunan muzik segar yang mengangkat bunyi-bunyian klasik seperti rebana, disulami sentuhan pop kontemporari yang dekat dengan citarasa pendengar masa kini. “Eh Ah! Raya” adalah hasil kolaborasi kreatif antara Farahdhiya dan komposer prolifik, Pown Hasril.

Lagu ini digubah oleh Farahdhiya bersama Pown Hasril, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. Proses penerbitan dan susunan muzik dijayakan oleh Pown Hasril dengan sentuhan istimewa rebana oleh Ajay Amai dan petikan gitar oleh Pown Hasril. Vokal latar disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai, manakala kemeriahan suasana Raya turut diserikan dengan suara kanak-kanak daripada Nawal Zayani dan Nawal Ariana. Proses adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Jack Jafni bagi memastikan kualiti audio terbaik buat para pendengar.

Menurut Farahdhiya, “Eh Ah! Raya” lahir daripada rasa rindu terhadap kemeriahan Aidilfitri yang penuh warna-warni dan gelak tawa. “Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu Raya sendiri yang benar-benar mencerminkan personaliti saya iaitu ceria, sedikit ‘playful’ dan penuh semangat kekeluargaan. Lagu ini adalah gambaran suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa lagu ini diharapkan menjadi runut bunyi wajib setiap kali menjelang Syawal. “Saya harap bila orang dengar Eh Ah! Raya, mereka terus rasa nak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk menyambut Raya bersama insan tersayang. Raya bukan sekadar tentang pakaian atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini,” jelasnya lagi.

Dengan tempo yang rancak serta korus yang mudah diingati, “Eh Ah! Raya” diyakini mampu menjadi antara lagu Raya pilihan tahun ini, bukan sahaja untuk diputarkan di radio dan platform digital, malah sesuai mengiringi pelbagai kempen, acara, dan kandungan media sosial sepanjang musim perayaan. Single ini, edaran Seventeen Eleven Muzik, kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama mulai 25 Februari 2026. Muzik video rasmi lagu tersebut, yang menampilkan konsep penuh warna dan elemen tradisi Raya, boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ di pautan https://youtu.be/jQ1oFrFbL34?si=Ml7mAATL0RAvgyFu bagi melengkapkan pengalaman visual dan audio buat peminat.

Dengan pelancaran single terbaharu ini, Farahdhiya sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk terus relevan dan kreatif dalam industri muzik tempatan sambil menghadiahkan karya yang mampu menyatukan generasi dalam satu irama: Eh Ah! Raya!