Negeri Kedah terus menyumbang bakat-bakat tersohor dalam industri seni tanah air walaupun jumlahnya tidak begitu ramai. Namun, sumbangan mereka sering dilihat kurang mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkepentingan di negeri tersebut. Antara tokoh terkenal yang lahir dari Kedah termasuk Farid Kamil, Rozita Che Wan, Maria Tunku Sabri, Ahmad Idham, Ezad Lazim, Zulkifli Ismail dan ramai lagi. Walaupun ramai yang aktif dan popular, mereka tidak dikumpulkan dalam satu badan atau organisasi khusus yang dapat dimanfaatkan untuk kepentingan penduduk Kedah itu sendiri.
Sehubungan itu, penubuhan Persatuan Rantauan Warisan Kedah atau Waris Kedah sejak setahun lalu dilihat sebagai langkah terbaik untuk menyatukan anak watan di bawah satu payung. Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, berkata program pertama yang dianjurkan adalah Kedah Nite 2026 (Majlis Santapan Diraja) yang dijangka menghimpunkan kira-kira 800 anak Kedah yang menetap di ibu kota. Program sulung ini akan berlangsung di Matrade Hall, Kuala Lumpur pada 14 Februari dan bertujuan mengeratkan silaturahim antara anak watan Kedah. Semua anak Kedah, termasuk golongan selebriti dan ahli sukan, dijemput menyertai tanpa sebarang halangan. Zaienal berharap dengan sambutan yang memberangsangkan, Kedah Nite akan menjadi acara tahunan dengan pelbagai pengisian bermanfaat.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Penganjur Kedah Nite 2026, program ini bukan sahaja bertujuan memupuk jaringan perniagaan dan kolaborasi strategik dalam kalangan anak Kedah, tetapi juga menyahut titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang mahu melihat anak watan kembali menyumbang khidmat kepada negeri asal. Kedah Nite 2026 turut bertindak menyatukan kepimpinan dan tokoh berpengaruh kelahiran Kedah dalam satu platform berprestij. Program ini diharap dapat memperkasa identiti, warisan dan sumbangan anak Kedah terhadap pembangunan ekonomi dan negara serta menjadi platform strategik jangka panjang bagi pertukaran idea, kerjasama pelaburan dan inisiatif ekonomi sosial.
Sidang media pengumuman Kedah Nite 2026 berlangsung di Bangunan Matrade baru-baru ini dan dihadiri artis serta selebriti termasuk pelakon Zulkifli Ismail, penyanyi Ezad Lazim, Asheed Def Gab C dan pengacara Maria Tunku Sabri. Dalam sidang media tersebut, Zaienal turut memaklumkan yuran keahlian minimum ditetapkan pada RM10 untuk ahli biasa dan RM300 untuk keahlian seumur hidup. Mereka yang ingin hadir pada malam itu diminta membuat RSVP melalui WhatsApp ke nombor 011-5584 1957 sebelum 31 Januari bagi menerima QR code kemasukan. Bagi selebriti, jumlah kehadiran tidak dihadkan tetapi mengikut konsep ‘first come, first serve’.

Majlis ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kumpulan Weststar dengan Pengarah Urusannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh kelahiran Kedah sebagai penaung majlis. Kedah Nite 2026 akan diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja Kedah dan jemputan kenamaan lain. Tema malam itu ditetapkan sebagai ‘black tie’ dan glamor, dengan pengacara Maria Tunku Sabri. Persembahan hiburan oleh artis dan pemuzik antarabangsa turut disediakan di bawah naungan Weststar, manakala acara penyampaian anugerah pengiktirafan khas kepada tokoh anak Kedah yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa juga dijadualkan.
Bercakap mengenai majlis ini, Maria Tunku Sabri berkata, “Waktu inilah kita ambil kesempatan untuk beramai-ramai dan meramaikan anak seni Kedah. Saya selalu bangga menyebut asal saya 02 setiap kali muncul di TV. Alhamdulillah, arwah mak saya juga berasal dari Kedah. Jom kita sama-sama meraikan dan memeriahkan apa yang bakal dilakukan. Hidup Kedah!” Zulkifli Ismail menambah, “Ramai yang tidak tahu saya orang Kedah sehinggalah saya buat video TikTok ‘5 Perkataan Dalam Loghat Kedah’. Saya duduk di KL 40 tahun, mereka boleh bawa saya keluar daripada Kedah tetapi Kedah tetap dalam diri saya.”
Ezad Lazim pula berkongsi rasa bangganya dengan perjumpaan anak Kedah, sambil mengingatkan orang ramai bahawa beliau berasal dari Alor Setar, bukan Johor seperti disangka ramai sebelum ini. Asheed Def-Gab C menambah, “Saya sudah lama menunggu inisiatif sebegini. Negeri lain ramai anak-anak negeri masing-masing yang aktif, tetapi di Kedah ini agak lewat. Saya harap usaha ini akan berterusan, insya-Allah.”