Penyedia penyelesaian sistem fotovoltaik solar (PV solar), JS Solar Holding Berhad (JS Solar) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, JS Solar Sdn. Bhd. (JSSB) telah memeterai kontrak bernilai RM30 juta bersama NUR Power Ventures Sdn. Bhd. (NUR Power Ventures). Menerusi perjanjian tersebut, JSSB dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi melaksanakan projek sistem PV solar atas bumbung yang diintegrasikan bersama sistem storan tenaga bateri (BESS).
Projek tenaga hijau bersepadu ini disasarkan untuk mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang 1 Julai 2027. Langkah ini sekali gus memperkukuh lagi penglibatan JS Solar dalam segmen penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang menggabungkan penjanaan kuasa solar secara langsung dengan teknologi penyimpanan tenaga moden bagi meningkatkan kecekapan bekalan elektrik.
Pemeteraian kontrak berkenaan merupakan kesinambungan yang positif daripada kerjasama strategik antara JS Solar dan N.U.R Power Sdn. Bhd. (N.U.R Power), iaitu syarikat induk kepada NUR Power Ventures, serta anak-anak syarikat di bawah Kumpulan NUR. Sebelum ini, pada Februari 2026, JSSB dan N.U.R Power telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi meneroka peluang pembangunan projek solar atas bumbung di negara ini.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai Jeun Sian berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkukuh hubungan kerja bersama N.U.R Power menerusi penganugerahan projek bernilai RM30 juta tersebut. Menurut beliau, integrasi antara PV solar atas bumbung dan BESS mencerminkan keperluan industri tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang, di samping membuka ruang kepada syarikat untuk terus membina kepakaran teknikal merentasi kedua-dua teknologi berkenaan.
Tambah beliau, dengan sasaran COD pada 1 Julai 2027, keutamaan utama syarikat kini adalah untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan secara berdisiplin dan bekerjasama rapat dengan pihak N.U.R Power demi menjamin penyampaian yang cemerlang. Berbekalkan pengalaman mantap dalam EPCC PV solar serta operasi dan penyelenggaraan, Kumpulan kekal komited meneroka lebih banyak peluang seiring peralihan berterusan Malaysia ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui.















